Thursday, 4 April 2013







Sama + Berbeza= Adil

                “Abang nak beli kereta sport mewah, baru bergaya. Fuhh!” kata seorang suami.
                “Tapi bang, anak kita lima. MPV lebih sesuai,” cadang isterinya.
                “Hei, aku lelaki! Aku lebih matang buat keputusan.” Tiba-tiba sahaja si suami naik berang.
                Hmm, inilah jadinya apabila kita terlalu melihat kepada faktor gender, bukan rasional dan hujah.
                Bagaimana lelaki dan perempuan akan saling bekerjasama dengan harmoni?

Antara Lelaki dan Perempuan

Perdebatan tentang lelaki dan perempuan bukan satu isu baru. Tapi ia tidak pernah selesai. Lihatlah di serata dunia. Seakan-akan ia isu hangat setiap zaman, di mana jua.Allah menghadiahkan Rasulullah, para sahabat dan para sahabiah sebagai generasi terbaik untuk dicontohi dalam menguruskan soal lelaki dan perempuan.

Pandang apa yang dikata, bukannya dia lelaki atau perempuan!
Dengan adanya contoh ikutan, ummat mengenal mana hak dan mana tanggung jawab. Sentiasa ada timbal balas. Bahkan mengenal mana persamaan dan mana perbezaan. Agar saling memahami, saling memuliakan, seterusnya saling melengkapi.


Terlalu Berbeza?

                Ada pihak menganggap lelaki dan perempuan terlalu berbeza. Seakan daripada planet yang berlainan.  Ini idea yang cuba disampaikan oleh Dr. John Gray dalam bukunya, Man From Mars, Women From Venus.

Kebaikan idea ini ialah lelaki dapat memahami perempuan. Perempuan juga dapat memahami lelaki. Secara umumlah. Terutamanya dari aspek perbezaan biologi merangkumi otak, genetik dan kemampuan. Ia membantu dalam aspek komunikasi dan perhubungan.

Kelemahannya, ada pihak rasa digeneralisasi secara tidak tepat.  Terutamanya dalam aspek kemampuan dan sikap. Seakan dicop label tertentu ke atas dahinya atas nama gender. Ia boleh mendorong pihak satu lagi untuk cepat menghukum dan menghina. Bahkan prejudis terhadap kemampuan lawan jenisnya.

Buku yang bagus ini banyak menekankan tentang perbezaan. Namun, ia tidak boleh diambil secara hukum mutlak. Lebih bagus jika ia diislamisasikan. Aspek persamaan antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang termaktub dalam syariat lebih menarik jika kita gandingkan sekali.

Ada pihak menggunakan hujah ‘kami berbeza’ untuk tidak mahu menjadi lebih baik selari kehendak syariat.
                “Saya suka gosip sebab saya perempuan. Otak saya memang diciptakan begini.” Tidak mahu mengingatkan diri dengan larangan Allah tentang mengumpat.

                “Saya tidak suka bercakap romantik sebab saya lelaki. Otak lelaki memang begini!” Tidak mahu meluahkan ungkapan mesra kepada isterinya sebagaimana Nabi memanggil, ‘Ya Humaira’.

Pandangan Dr. Gray hanyalah teori umum. Mari menjenguk realiti. Jika diteliti lebih dekat, tidak semua perempuan suka bergosip. Tidak semua lelaki tidak romantik. (Err, abah dan suami saya kategori lelaki romantik, setia, dan bukan kaki perempuan. Alhamdulillah.) Tak mengapa. Yang baik kita ambil. Yang kurang kita lengkapkan. Yang buruk, ditapis dan dibuang.


Sama Tanpa Beza?

Ada pihak lain menganggap lelaki dan perempuan sama dalam segenap aspek. Seakan apa yang lelaki boleh buat, perempuan juga mesti buat.
Kebaikannya, satu pihak tidak terlalu merendahkan pihak yang lain.
“Eh, perempuanpun pandai baca peta?”
“Err, siapa kata orang lelaki tidak pandai masak? Master chef lagi.”
“Wow, Gabenor Bank Negara wanita pakar!”

Kelemahannya pula, ia menzalimi pihak yang terpaksa melakukan sesuatu di luar fitrahnya.
“Aduh, susah betul aku nak jadikan otot aku macam otot lelaki.”
“Tak acilah perempuan boleh pakai baju cantik. Padahal kalau aku jadi perempuan, aku jauh lebih cantik.”


Sama Tapi Berbeza

Saya tenang bersama golongan pertengahan di antara dua persepsi ini. Antara lelaki dan perempuan, ada yang sama. Ada yang berbeza. Bukan sama secara mutlak. Bukan juga berbeza secara mutlak.  Islam berhikmah menggariskan keadilan. Lelaki dan perempuan, sama sahaja tapi berbeza.
Fikrah ketiga ini saya kutip daripada buku-buku karangan ulama seperti Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, dan Abdul Halim Abu Syuqqah. Fikrah ini menghantar kepada natijah yang lebih hebat. Persamaan untuk disyukuri. Perbezaan untuk diuruskan.
Lelaki dan perempuan saling memahami, tidak merendahkan antara satu sama lain bahkan saling melengkapi untuk menjadi insan bertaqwa di sisi Allah. Hanya taqwa yang membezakan siapa lebih baik, bukannya  samada dia lelaki atau perempuan. Sedikit perbezaan dalam peranan dan sebahagian hokum adalah suatu bentuk pembahagian tugas. Ia bukan tanda kehinaan dan tidak boleh dihinakan.


Teori vs Realiti.

Kenapa wujudnya banyak gerakan feminisme seluruh dunia? Kita asyik mengkritik gerakan ini, terutamanya gerakan feminisme tahap ekstrim. Namun, pernahkah kita bermuhasabah, adakah cara dan sikap kita turut menyumbang kepada kemarahan mereka?
“Wanita ni otak pendek. Emosional. Sebab tu lah Allah tak bagi kuasa talaq kepadanya. Kalau tidak, setiap hari dia akan ceraikan suaminya,” terang seorang penceramah.
Apa perasaan wanita bertaraf professor yang mendengar kenyataan begini? Dia akan rasa terhina. Hatinya mungkin memberontak,

                ‘Kalau otak kau panjang sangat, tentu otak kau lebih layak jadi professor.’

Sependek mana akal seorang wanita, jika dia rajin belajar dan berusaha, dia lebih berkelayakan memenuhi IPT berbanding lelaki. Ini sunnatullah. Siapa berusaha, dia berjaya.
                Sepanjang mana akal seorang lelaki, jika dia malas belajar dan berusaha, dia akan lebih memilih rokok, merempit dan dadah berbanding pelajaran.

                Setinggi mana emosi seorang wanita, jika dia menguruskannya mengikut petunjuk wahyu, dia lebih rasional membuat keputusan dan pilihan.
                Sestabil mana emosi seorang lelaki, jika dia tidak menguruskannya selari syariat, dia lebih ramai menghuni penjara dan pusat serenti.

Sehebat mana ijazah seorang wanita, dia mesti solat di belakang seorang lelaki sebagai makmum bukan imam. Itu hukum. Bukan kerana lelaki lebih mulia tetapi kerana pembahagian tugas.
                Sehebat mana bacaan seorang imam, jika makmum wanitanya lebih khusyuk, makmumnya itulah lebih dipandang di sisi Allah SWT.

 Itu keadilan Allah. Tidak berat sebelah terhadap gender berbeza. Meletakkan segala perkara sesuai dengan syariatullah dan sunnatullah.
                “Tidak ada seorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada seorang yang menghina wanita, kecuali dia orang yang rendah pekertinya.” (Riwayat Abu Daud).

                “Ya Allah, di mana lagi lelaki yang memandang kami bagaikan adik-beradik dan ibu mereka sendiri? Mendengar, meraikan dan menghargai sewajarnya. Tidak menghina dan merendah-rendahkan kami seenaknya.”

                “Ya Allah, kami berlindung daripada lelaki yang hanya memandang kami sebagai objek seks semata-mata. Mengurat, menggoda dan mempermainkan. Memancing kemudian membuangnya sesuka hati. Setelah bibir kami robek termakan umpannya.

Ada juga yang kopiah dan serbannya hebat di kepala, tapi asyik menuduh kami punca segala fitnah di dunia. Seolah-olah kami diciptakan sebagai simbol seks yang menyusahkan jika kami hadir ke tengah masyarakat. Perasaan kami terdera, ya Allah. Kamu mengadu kepada-Mu di atas konkongan mereka yang tidak berlandaskan wahyu.”

                Ada Muslim yang terlalu takjub dengan idea Dr. Gray hingga mencari-cari dalil yang menerangkan bahawa lelaki dan perempuan terlalu berbeza. Mereka mengemukan dalil kata-kata ibu Maryam di dalam al-Quran. “Lelaki tidak sama dengan perempuan.”
                Jika dikaji lebih dalam tentang latar yang mendasari ayat ini, kita akan berfikiran lebih holistik.
                Isteri Imran menazarkan anak di dalam kandungannya untuk menjadi petugas di rumah ibadat. Dia menyangka anak itu lelaki. Peraturan yang ada pada ketika itu ialah wanita dilarang masuk ke rumah ibadat. Anak perempuan dipandang masyarakat sebagai memalukan dan tidak setaraf.
                Apabila isteri Imran selamat melahirkan, dia mendapati anaknya perempuan. Dia mengadu kepada Allah tentang nazarnya. “Manakan sama anak lelaki dengan anak perempuan.” Sudah tentu dia tidak mampu menyalahi peraturan yang ada ketika itu pada saat masyarakat memandang wanita sebagai makhluk second class.

                Apa yang mengagumkan, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Zakaria untuk membawa Maryam masuk ke rumah ibadat. Perdebatan sengit berlaku di kalangan para alim ulama di rumah ibadat itu. Kebanyakannya menentang keras. Diringkaskan cerita, Nabi Zakaria tetap berjaya mengangkat martabat wanita sesuai dengan perintah Tuhan-Nya. Maryam yang dipandang tidak setaraf dengan lelaki itu dibenarkan masuk ke rumah ibadah.

                Maryam membesar sebagai anak yang cerdas, alim, warak dan bijaksana. Ingatannya jauh lebih pintar berbanding pelajar-pelajar lelaki senior yang lain. Siapa kata wanita tidak cerdik?

                Bukan itu sahaja, Allah memuliakan Maryam dengan menyuruhnya masuk ke saf belakang lelaki. Allah memberi wahyu kepadanya. Jika takrif Nabi itu ialah orang yang mendapat wahyu daripada langit untuk dirinya sendiri, ternyata Maryam termasuk dalam takrif ini. Namun, sebahagian besar ulama mengkhusukan Nabi itu hanya untuk lelaki. Ada perbezaan pendapat pada sebahagian kecil ulama yang lain.

                Nah, ayat ini sebenarnya tentang persamaan antara lelaki dan perempuan di mata Allah secara umumnya. Bukannya tentang lelaki dan perempuan terlalu berbeza. Taqwa yang membezakan mereka. Perbezaan dalam beberapa hukum kerana meraikan fitrah.

Stereotypes.

                Ada pelbagai variasi dari satu budaya ke satu budaya. Ada pelbagai karakter dari seorang individu dengan individu yang lain. Namun, gender  streorotype tetap wujud, iaitu sikap yang kita percaya dimiliki oleh lelaki atau perempuan, hampir sama pada setiap budaya.
                William dan Best (1982, 1990) pernah membuat kajian komprehensif berkenaan hal ini. Kajiannya melibatkan 30 negara seluruh dunia. Dalam semua kajian, lelaki jika dibandingkan dengan perempuan, dianggap lebih agresif, mendominasi, berorientasikan pencapaian,

“Perempuan tidak boleh jadi ketua pengawas. Sebab perempuan emosional. Perempuan sesuai duduk saja jadi pengikut. Biar lelaki buat semuanya.”

Jika merujuk perbincangan dalil dan mengkaji sirah, kenyataan sebegini mempunyai unsur-unsur berat sebelah. Puncanya, memandang lelaki dan perempuan terlalu berbeza. Islam hanya meletakkan kepimpinan kepala Negara dan rumahtangga sahaja sebagai tugas wajib lelaki. Di luar daripada ini, siapa lebih berkelayakan, dialah lebih berhak memimpin, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Saya nak perempuan ramai sebab saya lelaki. Fitrah!”
“Saya suka minta cerai sebab saya perempuan. Ini memang tabiat semula jadi!”

Isu sebegini bagi saya tidak selamat dikaitkan dengan fitrah lelaki dan perempuan. Hujah-hujah sebegini hanya akan mencabar keegoan pihak satu lagi.
Realitinya, tidak semua lelaki fitrahnya suka hidup berpoligami. Ibnul Qayyim menjelaskan bahawa fitrah cinta mengharapkan penunggalan cinta oleh kekasihnya. Beliau merujuk surah al-Ahzab ayat 4.

Tidak semua perempuan fitrahnya terlalu emosi, tidak rasional dan suka minta cerai. Sejarah membuktikan 4 wanita teragung di syurga (Fatimah, Khadijah, Maryam dan Asiah) selalu bijaksana dalam tindakan mereka.

Isu sensitif seperti poligami dan perceraian lebih selamat dipandang dari kaca mata dalil, perbincangan dalil oleh para ulama muktabar, hukum-hakam yang melingkarinya, serta perbezaan antara kemahuan dan keperluan.

Fitrah jadi lurus dengan fikrah. Fikrah perlukan akal dan wahyu untuk memandu. Tanpa merujuk dalil dengan perbincangan fiqah dan usul fiqah, ia boleh mewujudkan diskriminasi. Diskriminasi merujuk kepada sikap tidak adil secara spesifik yang dipamerkan kepada sebahagian orang dalam satu kumpulan.



Langkah Demi Langkah Agar Tidak Bercakaran

                
Ada yang asyik berbincang soal perbezaan hingga melupakan persamaan. Ada yang asyik memperjuangkan persamaan mutlak sedangkan wujudnya perbezaan. Pendekatan para ulama  ini bagi saya lebih holistik.
1.       Mensyukuri banyaknya persamaan. Agar tidak saling merendahkan.
2.       Memahami wujudnya perbezaan. Agar saling memahami peranan berbeza.
3.       Saling melengkapi. Kedua-duanya sama penting. Kedua-duanya saling memerlukan. Kedua-duanya bertolong bantu untuk menjadi lebih baik di sisi Allah. 

Perbincangan tentang lelaki dan perempuan akan lebih membina apabila ia membuatkan setiap gender rasa unik dan istimewa.  Bukan satu pihak sahaja rasa direndahkan dan dihina.                   


Rujukan: Gambar yes you can                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          
Reactions:

2 comments:

  1. saya setuju seratus peratus...:)
    wanita jika berusaha dan rajin menuntut ilmu boleh berjaya juga seperti lelaki, malah boleh lebih berjaya...

    ReplyDelete
  2. Maaf. Artikel di atas ni belum siap sepenuhnya. tapi telah disend oleh PA saya ke sini. Tak mengapalah. Insyallah. Nanti ada kesempatan, saya akan kemaskannya semula.

    ReplyDelete