Saturday, 12 January 2013



Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Reactions:

Tagged:

31 comments:

  1. Assalamualaikum..
    subhanallah. Syukran jazillan atas perkongsian. Pada mulanya saya tertanya-tanya apa motif kita nak membincangkan mengenai benarkah Rasulullah manusia pertama. Rupa-rupanya khuatir akan membawa kepada taksub yang berlebihan. Saya ada permintaan pada ustazah.
    Bolehkah andai berkesempatan Ustazah menulis satu artikel mengenai anak-anak muda sekarang yang lebih mengagung-agungkan cinta remaja hingga tidak mengenali Rasulullah?Sempena Maulidur Rasul yang akan datang nanti. Terima kasih. Moga ustazah dan keluarga sentiasa berada dalam dakapan cinta Illahi dan Rasul-Nya :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Semoga Allah sentisa memelihara rasa kasih dan sayang..cinta dan rindu kita kepada Rasulullah SAW hingga hujung nyawa..amin..

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Ustazah. Apabila saya lihat tajuk ini seperti merujuk kepada Nabi Adam, tapi Nabi KITA = Nabi Muhammad S.A.W. yang sangat berpengaruh sepanjang zaman. Syukran atas perkongsian ini.

    ReplyDelete
  5. Pertama atau bukan,tidak menentukan apa2..yg penting Rasulullah adalah manusia teragung di atas muka bumi ini.Sollu Alan Nabiy =)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum. Perkongsian ustazah kali ini amat menarik minat sy. Syukran atas penulisan ini. :-)

    ReplyDelete
  7. Akal perlu tunduk kepada wahyu.. berhati-hati dengan hal yang kita tak tahu sahihnya, terima kasih ustzh atas perkongsian PENTING ini ^^
    Allahumma Solli 'Ala Muhammad wa 'ala aalihi wa sohbihi wasallam :)

    ReplyDelete
  8. penulisan yang sangat menarik dan berinfomatif. terima kasih.

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum...alhamdulillah...syukran ya ukhtie...benar2 memberi pencerahan kpd sy... 'indi sual...1) apa pendapat ukhti mengenai qasidah? 2) berkaitan ahlul bait? bolehkah seseorang tu mengaku dy kturunan Rasulullah? dgn menyatakn nasabnye smpai kpd Rasulullah? ataupn org lain mngatakn seseorg tu berktrunan Rasulullah?

    ReplyDelete
  10. assalamualaikum w.b t..ustazah..alhamdulillah akhirnya terungkai jua persoalan saya,setelah saya membaca artikel ini..trima kasih^^..tetapi saya ingin ajukan satu soalan kpd ustazah...perlukah seseorng muslimah yg bertudung labuh berdakwah dgn menggunakan kata2 yg amat pedas sehingga sahabatnya makan hati dan memaksa menerima dakwahnya kerana dia lebih banyak ilmu berbanding org lain... unsur dakwahnya seakan2 mahu memerlikan kelemahan org lain..harap ustazah dpt memberi penjelasan..^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam..harap ustazah boleh beri penjelasan soalan yg saya ajukan...harap ustazah dapat merungkai persoalan saya ini...^^

      Delete
  11. Slm ustzh.trima ksh atas pkgsian yg bgitu bmkna :)barakallah :))

    ReplyDelete
  12. Assalamualaykum saudari...

    saya nasihatkan agar saudari cari guru yg boleh wat saudari faham tentang persoalan saudari nie coz bg saya, saudari dh salah faham tentang 'makhluk pertama' tu...kesilapan saudari adalah memahami perkataan 'makhluk pertama', sebenarnya bukan makhluk pertama tapi 'Nur Muhammad'...apakah saudari mau mendustakan perkhabaran tentang 'Nur Muhammad' yg telah Allah wahyukan kpd nabi Musa dan nabi Isa utk dikhabarkan kpd umat nabi Musa dan Isa? "Iaitu orang yang mengikuti Rasulullah (Muhammad), nabi yang ummi yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil." (Surah Al-A'raf ayat 157) (Rujuk tafsir Ibnu Katsir dan fahami semula ayat 15 pada surah Al-Maidah berkenaan 'cahaya' tu)...tidak cukupkah bg saudari utk memahami maksud 'Nur Muhammad'?...saudari mengakui sastera Allah maha tinggi tetapi saudari berani mentafsirkan firman Allah secara 'harfiah' untuk disebarkan...dalam sirah Rasulullah s.a.w pun ada diceritakan tentang 'cahaya' nie, Ruqiyyah Binti Nawfal melihat 'cahaya' tu pada dahi Abdullah (Bapa Rasulullah) dan kerana itu Ruqiyyah mau menikah dengan Abdullah namun Abdullah lebih dahulu melamar Aminah (Ibu Rasulullah) dan saat Abdullah melamar Ruqiyyah, Ruqiyyah menolak kerana 'cahaya' tersebut telah tiada...dikisahkan juga saat Rasulullah s.a.w dilahirkan, keluar 'cahaya' terang yg menerangi timur dan barat hingga menyinari istana Syam (Rujuk Al Thabrani, juga Al Haitami dalam kitab Majma’ 2:220)...saya yakin bahawa saudari bukan ahli tafsir maupun ahli hadis, maka berhati2lah dalam menyebarkan ideologi saudari kepada umum, sekiranya sesuatu kebenaran saudari nafikan dan saudari sebarkan hingga jadi pegangan muslim yg jahil, saudari akan dipertangungjawabkan oleh Allah dengan ilmu yg saudari sebarkan hingga muslim2 yg jahil itu menafikan kebenaran dan kekuasaan Allah s.w.t...apa yg jelas, 'Nur Muhammad' lebih dahulu diciptakan Allah sebelum 'jasad' Muhammad tu tercipta dan bukan 'makhluk pertama' yang saudari fahami secara harfiah sebagai jasad fizik semata2...Wallahu a’lam bissawab..

    ReplyDelete
  13. Bismillah...

    dulu sy sendiri pernah belajar akan hal ini. mungkin sebenarnya yang menjadi persoalan bukanlah Rasulullah itu makhluk pertama. makhluk pertama itu Nabi Adam as. tapi yang pernah sy belajar, kaji dan faham, 'Nur Muhammad' itulah yang pertama diciptakan. bukan bermaksud Rasulullah itu diciptakan bersama jasad terlebih dahulu sebelum Nabi Adam as.

    maaf, sy tak dapat nak cerita panjang atas sebab kecetekan ilmu sy. takut ada yang akan salah faham dengan kata2 sy. walaubagaimanapun terima kasih atas perkongsian ilmu ini ustazah.

    ReplyDelete
  14. subhanallah.
    berguru sebelum menyebarkan perkara seperti ini,
    fahami maksud Nur dan makhluk "ustazah".
    jangan berguru dengan pengalaman dan pemikiran sendiri.
    dan jangan musnahkan sedikit demi sedikit tentang apa itu Rasulullah.
    semoga.

    ReplyDelete
  15. Ini pendapat Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi:)

    ReplyDelete
  16. "wujud ku Wujud Allah, NUR ALANUR" :)

    ReplyDelete
  17. Salam alaik
    Sgt tepat dan padat isi ustazah..mudah difahami!Moga org diluar sana tidak tersalah tafsir seperti yg ustazah terang dan jelaskan..dunia kini penuh dgn kekeliruan ilmu~

    ReplyDelete
  18. Saya cadangkan ustazah untuk membaca kitab "الخصائص الكبرى" karya al-Imam as-Suyuthi rahimahullah, saya percaya ustazah baru pertama kali mendengar nama kitab ini bukan? Di dalam kitab tersebut al-Imam mendatangkan dalil-dalil mengenai khususuiyyat Baginda sejak sebelum diciptakan alam ini lagi! Para ulama salaf sudah bincang lumat perkara ini ratusan tahun yg lampau, kenapa perlu ditimbulkan perkara ini untuk mengelirukan orang awam? Siapa al-Imam nak dibandingkan dengan pandangan dan hujjah akal kita? Juga saya cadangkan ustazah untuk membaca kitab "as-Syifaa" karya al-Qodhi 'Iyadh rahimahullah. Di dalam kitab tersebut diperjelaskan mengenai hak-hak Baginda.

    Berbicara perihal Baginda perlu berhati-hati, bukan boleh guna akal semata-mata. Setkan dalam minda Baginda merupakan makhluk bukan sebarangan makhluk sebelum mengulas!

    Oh ya, boleh datangkan sumber asal pendapat Syaikh al-Qaradhawi..syukran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jazakallah sudi berkunjung di sini. Lebih ilmiah jika kita menyatakan 'hujah' berbanding nama buku. Siapapun dalam dunia ini tidak maksum kecuali Rasulullah SAW. Boleh diterima dan ditolak pandanganya dengan tunduk pada kebenaran hujah. Boleh rujuk buku KUMPULAN FATWA, Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi :)

      Delete
    2. Sebenarnya memadai dengan ayat (وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين). Tetapi yg sebenar-benarnya banyak lagi ayat al-Quran yg menunjukkan bahawa al-Habeeb itu makhluk pertama diciptakan. Di sana ada awwaliyyah haqiqiyyah dan awwaliyyah idhofiyyah. Ok saya berhujjah secara ilmiyyah spt yg diminta.

      Di dalam surah an-Naml ayat ke-6 ( وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ )
      "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) diberikan menyambut dan menerima Al-Quran dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui."

      Kita semua sedia maklum bahawa wahyu disampaikan melalui perantaraan Sayyiduna Jibril 'alaihissalam. Tetapi di dalam ayat di atas, Nabi terima terus al-Quran sekaligus dari Allah. Bilakah peristiwa ini berlaku?

      Di dalam surah To-ha ayat 114 (وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا)
      "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"

      Ayat tersebut menunjukkan bahawa Baginda ditegur oleh Allah supaya jangan mendahului Jibril ketika dibacakan wahyu kepada Baginda. Ini menunjukkan Baginda sudah mengetahuinya.

      Saya telah bertanya kepada guru saya di Mesir mengenai hukum mengingkari hakikat awwaliyyah al-Muhammadiyyah, kata guru saya, itu disebabkan jahil dengan ayat al-Quran dan termasuk dikalangan awwam minal muslimeen..wallahu a'lam

      Delete
    3. Hujah-hujah yang diberikan di sini ternyata tersangatlah umum dan langsung tidak sekuat hujah-hujah PROF. SYEIKH DR. YUSUF AL-QARADHAWI, Ketua Ulama Sedunia. Tafsiran terhadap ayat-ayat ini eloklah merujuk pakar tafsir yang mu'tabar bukan sorang dua ulama yang tidak dikenalipun autoriti ilmunya di seluruh dunia.

      Cepat menghukum itu sudah menjadi tradisi kalangan awwam minal muslimenn:)

      Bagimu pendapatmu, bagiku pendapatku. :)

      Delete
    4. Mcm nilah saudari, beli kitab 'Khoso-is al-Kubra' karangan al-Imam as-Suyuthi rahimahullah dan baca. Beliau lebih berautoriti. Jangan terhad bersumberkan kitab fatwa sahaja. Fatwa utk bacaan orang awwam. Jernihkan pemikiran dengan membaca 2 kitab yg saya cadangkan spt di atas. Kamu telah memaksumkan Syaikh al-Qaradhawi seolah-olah beliau tidak pernah tersilap dalam berijtihad dan memperlekehkan ulama' yg kamu tak kenali menunjukkan dangkalnya dalam berfikir. Kebanyakan ulama' al-Azhar spt Mufti Mesir sekarang ada juga tidak setuju dengan pendapat Syaikh al-Qaradhawi dalam beberapa perkara. Sedangkan guru saya dikenali dan dihormati ulama' al-Azhar. Beliau mengajar Sohih al-Bukhari di Masjid al-Azhar setiap minggu. Hanya kerana kamu tidak pernah datang ke Mesir kamu kata beliau tidak dikenali. Ajeeb!

      Kitab2 tafsir bukanlah muktamad kerana penafsiran al-Quran terhad dan terbuka hingga hari kiamat.

      Bagi saya, posting ini tidak relevan menjadi tatapan dan bacaan orang awwam kerana ia akan menimbulkan syubhah terhadap Nabi. Pesan guru saya, hilangkan keraguan terhadap Baginda Nabi sebelum kamu dicabut nyawa menghadap Ilahi.

      Bagimu pendapatmu, bagiku pendapat guru-guruku. Wallahu a'lam.

      Robbuna yahddeena.


      رُويَ عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قوله ثلاث يهدمن الدين زلة العالم ، و جدال المنافق بالقرآن ، و أئمة مضلون ) ، وجاء رجل لمعاذ رضي الله عنه وهو في مرض الموت فقال : أوصني؛ قال معاذ : ( اتق زلة العالم ) ، وقال ابن عباس رضي الله عنهما : (ويل للأتباع من عثرات العــالم . قيل : و كيف ذاك ؟ قال : يقول العالم شيئاً برأيه ثم يجد من هو أعلم منه برسول الله صلى الله عليه وسلم فيترك قوله ذلك ، ثم يمضي الاتباع ) .

      Delete
    5. Bagimu pendapatmu, bagiku pendapat guru-guruku. Wallahu a'lam.

      sikap ini, saya setuju:)

      Delete
  19. Ramai yg masih keliru dgn isu ini...,, Kerana saains menceritakan tetang zaman dinasour ,paleolitik ,neolitik, org batu.. ,,dan. Input ini telah diserapkan ke dalam diri sejak di bangku sekolah lagi...,,
    Menyebabkan ramai yg keliru,,,

    ReplyDelete
  20. Perkara ini telah dijelaskan di dalam kitab "ma yajibu an tusahhih" karangan ulama' terkenal dri mekkah.... ulama' ni memang di kenali sluruh dunia kecuali org awam.....

    ReplyDelete
  21. Sesungguhnya yang pertama kali Allah SWT ciptakan adalah “Nur”nya Baginda Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis yang tercantum dalam kitab maulid Simtud Durar Lil Imam Al-‘Arif Billah Al-Habib Ali Bin Muhammad Al-Habsyi hal 19 :

    أخرج عبد الرزاق بسنده عن جابر بن عبد الله الأنصاري رضي الله عنهما قال – قلت يا رسول الله بأبي وأمي أخبرني عن أول شيء خلقه الله قبل الأشياء. قال يا جابر إن الله خلق قبل الأشياء نور نبيك محمد صلى الله عليه وسلم من نوره
    Yang artinya kurang lebih:
    “Bahwa sesungguhnya shahabat Jabir bin Abdullah RA bertanya kepada Junjungan kita Baginda Nabi Besar Muhammad SAW; Wahai Rasulullah, (Ayah ibuku sebagai tebusan Engkau), beritahukanlah kepadaku tentang pertama kali makhluk yang Allah SWT ciptakan sebelum segala sesuatu. Maka Baginda Nabi Muhammad SAW menjawab; Hai Jabir, sesungguhnya yang Allah SWT ciptakan sebelum segala sesuatu adalah NUR (cahaya) Nabimu (Baginda Nabi Besar Muhammad SAW)”.

    Dan sesungguhnya Nur Baginda Nabi Muhammad SAW senantiasa bertasbih kepada Allah SWT dengan diikuti oleh para malaikat dan para arwah di alam malakut, jauh puluhan ribu tahun sebelum Nabi Adam AS diciptakan oleh Allah SWT. Sebagaimana hal itu telah disebutkan oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi di Kitab Ad-Durarul Hisaan Fil Ba’tsi Wa Na’iimil Jinan Haamisy Daqa’iqul Akhbaar hal 2 & 3.

    Dan sesungguhnya kalau bukan demi Baginda Nabi Muhammad SAW maka Allah SWT tidak akan menciptakan segala sesuatu. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis qudsiy;

    لولاك لولاك لما خلقت الأفلاك
    Yang artinya kurang lebih;
    “Seandainya tidak ada Engkau (wahai Nabi Muhammad SAW, sungguh Aku (Allah SWT) tidak akan menciptakan alam semesta”

    Maka segala anugerah yang telah melimpah kepada makhluk-makhluk Allah SWT, semata-mata adalah dengan berkatnya Baginda Nabi Muhammad SAW. Bahkan segala kemuliaan para Malaikat dan Para Nabi adalah semata-mata berkat Baginda Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana yang telah diterangkan oleh Syeikh Yusuf bin Ismail An-Nabhani di kitabnya Hujjatullah ‘Alal ‘Alamin hal 53 & 54 ;
    قال الشيخ يوسف بن إسماعيل النبهاني في حجة الله على العالمين ص53 -54
    إنما ظهر الخير لأهله ببركة سيدنا رسول الله صلى الله عليه وسلم وأهل الخير هم الملائكة والأنبياء والأولياء وعامة المؤمنين

    Yang artinya kurang lebih;
    “Bahwa sesungguhnya segala kebaikan yang melimpah kepada makhluk-makhluk Allah SWT yang mulia adalah semata-mata berkat Baginda Nabi Muhammad SAW, mereka itu adalah para Malaikat, para Nabi dan semua orang-orang mukmin”.

    Dan sesungguhnya manakala Allah SWT telah menciptakan Nabi Adam AS, Allah SWT senantiasa memanggilnya dengan julukan Abu Muhammad, sehingga Nabi Adam AS bertanya kepada Allah SWT tentang rahasia panggilan tersebut, sebagaimana hal itu telah diriwayatkan oleh Syeikh Ahmad bin Zaini Dahlan Al-Hasaniy dalam kitabnya As-Sirah An-Nabawiyyah juz 1 hal 15 ;

    قال الشيخ أحمد بن زيني دحلان الحسني في السيرة النبوية الجزء الأول ص 15
    ويروى من طرق شتى أن الله تعالى لما خلق آدم عليه السلام ألهمه الله أن قال : يا رب لم كنيتني أبا محمد ؟ قال الله تعالى : يا آدم إرفع رأسك فرفع رأسه فرأى نور محمد صلى الله عليه وسلم في سرادق العرش فقال : يا رب ما هذاالنور ؟ قال : هذا نور نبي من ذريتك إسمه في السماء أحمد وفي الأرض محمد لولاه ما خلقتك ولا خلقت سماء ولا أرضا

    Yang artinya kurang lebih;
    “Bahwa sesungguhnya Allah SWT sesudah menciptakan Nabi Adam AS maka Allah SWT memberi ilham kepada Nabi Adam AS untuk bertanya kepada-Nya; Ya Allah, kenapa Engkau juluki aku dengan “Abu Muhammad” (Ayahnya/bapaknya Muhammad)? Maka Allah SWT Berfirman kepada Nabi Adam AS; Hai Adam, Angkat kepalamu. Maka Nabi Adam AS kemudian mengangkat kepalanya. Seketika itu Beliau melihat Nur (cahaya) Baginda Nabi Muhammad SAW meliputi di sekitar ‘Arasy. Nabi Adam AS bertanya; Ya Allah, Nur siapa ini ? Allah SWT Berfirman; Ini adalah Nur seorang Nabi dari keturunanmu, di langit namanya Ahmad, di bumi namanya Muhammad. Kalau bukan karena Dia niscaya Aku tidak akan menciptakan kamu, langit dan bumi.”

    ReplyDelete
  22. SELAKU umat Islam, kita meyakini dan mempercayai bahawa Nabi Muhammad SAW ialah manusia yang harus berlaku ke atas Nabi SAW apa yang harus ke atas manusia yang lain.

    Ia seperti mengalami hal-hal yang mendatang dan ditimpa penyakit yang tidak mengurangi kewibawaan baginda SAW sebagai seorang nabi dan tidak menyebabkan orang menjauhkan diri daripadanya.

    Nabi Muhammad SAW juga adalah seorang hamba ALLAH SWT yang tidak memiliki kekuasaan pada dirinya untuk menolak sebarang kemudaratan atau mendatangkan manfaat, memati atau menghidupkan atau membangkitkan, kecuali apa yang dikehendaki oleh ALLAH SWT.

    ALLAH SWT berfirman: Katakanlah, "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh ALLAH) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (al-A'raf: 188)

    Sesungguhnya Nabi SAW telah menyampaikan risalah dengan sempurna, menunaikan amanah, menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan ALLAH sehingga kewafatan baginda SAW. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman ALLAH SWT: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad!) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)

    Sifat 'ubudiyyah (perhambaan) adalah semulia-mulia sifat baginda SAW. Oleh kerana itu, baginda amat berbangga dengannya sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba ALLAH".

    ALLAH SWT telah menyifatkan nabi SAW sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika ALLAH menceritakan anugerah Isra' kepada baginda sebagaimana firman-Nya: Maha Suci ALLAH yang telah memperjalankan hamba-Nya…(al-Isra: 1)

    Begitu juga firman ALLAH: Dan sesungguhnya tatkala hamba ALLAH (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)

    Sifat manusiawi Nabi SAW inilah merupakan mukjizat baginya. Baginda SAW adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum; tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.

    Baginda SAW sendiri pernah bersabda di dalam hadis sahih mengenai keistimewaan dirinya: "Sesungguhnya aku tidak seperti keadaan kamu. Aku tidur di sisi Tuhanku dalam keadaan diberi makan dan minum".

    Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah SAW sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaannya yang membezakannya daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.

    ReplyDelete
  23. Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah SAW, bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.

    Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.

    Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh ALLAH dalam firman-Nya: Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami". (Hud: 27)

    Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), "Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?" (al-Mukminun: 47)

    Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh ALLAH dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu'ara': 154)

    Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh ALLAH melalui firman-Nya: Mereka berkata, "Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu'ara': 185)

    Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka hanya memandang nabi SAW sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran: Dan mereka pula berkata, "Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?" (al-Furqan:7)

    Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan dalam sabdanya tentang kemuliaan yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepadanya dengan semulia-mulia sifat dan pelbagai perkara yang mencarik adat (mukjizat) yang membezakannya daripada manusia yang lain.

    Menganggap Nabi SAW sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.

    Jika Nabi SAW tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain? Tidak ada salahnya kita memuliakan dan memuji baginda SAW. Malah sememangnya kita digalakkan memuji dan memuliakan nabi SAW ini selagi ia tidak sampai menyamatarafkan baginda SAW dengan sifat-sifat ketuhanan.

    ReplyDelete
  24. nilah berlajar tanpa guru...cukupla hujah2 dari sahabat2 di atas pencerahan......bila ilmu2 pondok dipinggirkan dan disesatkan akhirnya manusia mudah berhujah tanpa asas ilmu yang kukuh...lebih baik cerita bab solat,bab anak muda atau sewaktunya.....fikir2kan

    ReplyDelete
  25. Assalamualaikum ustazah.. bilamana membaca artikel ini, saya jadi keliru..sebelum ini, saya ada membaca sebuah kitab, di mana dinyatakan bahawa selepas Allah s.w.t mentajallikan diri-Nya, maka diciptakanlah Nur Muhammad.. di mana ini lebih kpd ilmu hakikat dan makrifatullah.. berdasarkan apa yang ustazah bincangkan dlm artikel ini lebih kpd syariat atau permukaan sahaja. Mungkin ustazah boleh bertanya kepada mana2 ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dlm ilmu hakikat dan makrifatullah. Apa-apa pun, ilmu dlm Islam bkn terdiri dari ilmu kalam sahaja, kita juga kena yakin akan adanya ilmu ghaib. "Katakanlah: “Wahai Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui barang ghaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya" (Q.S. Az-Zumar [39] : 46)

    ReplyDelete