Monday, 21 January 2013





Remaja Diterjah Badai

                Seorang gadis remaja berbangsa Cina baru kembali ke fitrahnya, Islam. Dia bersemangat. Berani. Aktif. Bijak. Bahkan cantik. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menjadi seorang pendakwah. Dalam usia remaja, dia sudah duduk sebaris dengan penceramah-penceramah agama yang hebat.
Kali pertama saya mendengar ceramahnya, saya berbangga dengan kehadiran mawar agama ini ke arena dakwah. Saya mengaguminya dari jauh. Itulah potensi jiwa muda. Penuh aspirasi dan cita-cita. Usahlah ditanya siapa dirinya. Yang penting, kita mengambil iktibar daripada kisahnya. Anggaplah kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa.
Bukan mudah baginya melalui detik-detik dibenci keluarga, ditinggalkan kawan-kawan dan dimusuhi sanak-saudara. Semua diharunginya dengan tabah. Namun, apabila ujian bertsunami datang daripada orang Islam sendiri, dia hampir tersungkur rebah.
Gadis remaja ini kembali minum arak. Beberapa kali dia cuba mencabut nyawa sendiri. Mujurlah masih berbaki kewarasan diri. Buat masa ini, dia memilih menjadi pengunjung tetap pakar psikitari. Islamnya masih bersisa di hati. Ya Allah, kasihanilah dia! Apa yang dia lalui?

Cukup-cukuplah Melabel!

                “Tak boleh tudung-tudung berfesyen ala-ala Hana Tajima ni,” tegur seorang ustazah.
                “Tapi ia menutup leher, dada, dan rambut. Saya remaja. Saya sukakan fesyen,” kata si gadis Cina.
                “Fesyen itu tabarruj. Ianya haram,” tegas si ustazah.
                “Ustazah, apa maksud tabarruj?”
                “Awak ni sungguh-sungguh tak masuk Islam? Jangan banyak tanya. Ikut saja. Fasiq nanti.”
Gadis ini sejak awal masuk Islam tertekan dengan sikap segelintir Muslim yang sangat menghukum dan memaksa dalam isu-isu feqah. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan soal wanita. Apa yang dibuatnya selalu dipandang serong. Dikritik bukan dididik.
Mana keindahan toleransi dalam Islam?
Mana roh kemudahan?
Islam menghalang kebebasan memilih sesuatu yang masih dalam batasan syarak?
Padahal isu-isu fiqah ini banyak perbezaan pendapatnya. Ianya suatu rahmat. Misalnya maksud ‘tabarruj’ ini, ada pelbagai definisi oleh para ulama. Ada yang berkata, membuka leher dan tempat anting-anting. Pendapat lain mengatakan ia suatu perbuatan berjalan melenggang-lenggok. Pendapat lain, membuka aurat.
Di sini, Allah benarkan kita berbeza. Semuanya dalam daerah pahala. Samada satu atau dua pahala. Melayani perkara khilaf seperti ia bukan khilaf adalah suatu sikap yang tidak adil atau zalim.
Adakah gadis ini ber’tabarruj’ jika kita merujuk pendapat ulama-ulama di atas?
Baik lelaki mahupun sebahagian wanita sendiri, jika mereka ini tidak meletakkan persepsi yang benar terhadap peranan wanita, mereka cenderung suka menghina, menghukum dan melabel.
Sudahkah kita membaca berkaitan tudung cantik sebahagian sahabiah sendiri sebelum menganggap wanita tidak berhak berfesyen?
Sudahkah kita merujuk sirah sebelum menganggap wanita itu pentasnya hanya di rumah?
Sudahkah kita mengenali Khadijah, Zainab binti Jahsy, dan Asma’ binti Abu Bakar sebelum menganggap wanita tidak layak berkerjaya?
Sudahkah kita meneliti sikap para sahabat sebelum menghalang isteri ke masjid dan ke pengajian agama?
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam pengantarnya terhadap buku Jati Diri Wanita Menurut al-Quran dan Hadis, karya Dr. Ali Shariati berkata, “Mereka mengurung wanita di dalam rumah. Tidak dibenarkan keluar dengan alasan apapun, termasuk untuk belajar dan berkerja. Wanita dianggap tidak layak dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat bagi masyarakat dan diri sendiri. Sehingga sebahagian mereka beranggapan bahawa wanita solehah itu wanita yang tidak pernah keluar rumah kecuali dua  kali, iaitu keluar dari rumah orang tuanya menuju ke rumah suaminya, dan dari rumah suaminya menuju ke kuburnya. Padahal al-Quran menganggap pengurungan di dalam rumah ini sebagai seksaan bagi wanita sebagai mana dalam surah an-Nisa’, ayat 15.”

Allah Ciptakan Wanita Hanya Untuk Menjadi Simbol Seks?

Dalam sesetengah pengajian, gadis Cina ini melihat wanita sering dipersalahkan. Dianggap menyusahkan. Digelar si tulang bengkok. Hanya layak disebut perangkap syaitan dan simbol seks yang serba terkongkong. Terpenjara daripada tugas-tugas kemasyarakatan. Hanya tentang ‘itu’kah wanita tercipta?
Dia terfikir, patutlah golongan kristianisasi dan missionari sering menjadikan topik wanita sebagai senjata utama untuk menimbulkan ketakutan terhadap Islam di Barat. Bahkan menyucuk rasa benci para muslimah di dunia ini terhadap agama sendiri.
Mungkin muslimah yang terpengaruh dengan dakyah mereka ini tidak menyatakan dengan perkataan tapi mereka tonjolkan melalui tindakan. Mereka merasakan dekat dengan ajaran agama itu suatu yang terlalu membebankan.
“Orang perempuan ni bodoh. Kurang akal dan agama! Bila menikah dengan dia, kita sebenarnya tambah masalah. Nabi dah kata perempuan ni si tulang bengkok,” kata seorang penceramah agama.
Gadis remaja yang dahagakan ilmu ini tersedak. Semakin belajar soal wanita, semakin benci hatinya kepada Islam. Dia tertanya-tanya, ini Islam atau silap tafsiran? 

Nabi Sempurna, Kita Tidak

Mana mungkin Nabi kita yang terkenal sebagai pembela wanita seluruh alam, akan menghina wanita sebegini rupa. Nabi bermaksud lain. Sering ditafsirkan dengan maksud yang lain. Nabi menjelaskan dan menghiburkan wanita dengan hadis-hadis berkaitan soal ini. Tapi bila berpindah ke lisan sesetengah Muslim, maksudnya bertukar menjadi penghinaan dan sesuatu yang menyakitkan. Islam yang mulia lalu difitnah mendiskriminasikan wanita.
Penceramah agama tidak sempurna. Kadang-kala ilmunya terbatas untuk menerangkan secara tepat kerana bidang wanita bukan bidang kajiannya. Jangan tadahkan telinga hanya pada satu pengajian. Luaskan ufuk minda daripada ramai guru dan banyakkan bacaan. Minda akan lebih celik. Fikiran akan lebih terbuka. Hati akan lebih faham menilai.
Menjadi peranan kita untuk mendapatkan tafsiran terhadap hadis-hadis berkenaan wanita daripada sumber yang sahih, berautoriti, dan tepat. Inilah sikap yang benar bagi ummat yang sentiasa berbaik sangka terhadap Nabinya. Bacalah karya para alim ulama besar dunia seperti al-Qaradhawi, Imam Ghazali, Abdul Halim Abu Syuqqah, dan ramai lagi berkenaan wanita. Kita akan tersenyum bahagia.

Disuruh Menikah 

                Gadis Cina ini dibawa ke Siam oleh Muslim-muslim yang dipercayainya. Di sana, dia diminta menikah dengan lelaki yang baru beberapa saat dia kenal. Dia keliru, tiadakah proses merisik dan bertunang dalam Islam? Bagaimana Islam meraikan suara anak gadis dalam soal ini?
                Sebelum bernikah, dia disiapkan minda bahawa suaminya berhak untuk berpoligami bila-bila masa sahaja yang diinginkan. Beginikah Islam meletakkan kedudukan poligami? Bukankah ia hanya ‘rukhsah’ bila keadaan memerlukan?
Jiwa gadis Cina ini dahsyat dipukul tanda-tanya. Islam tidak fikir soal ‘sakinah’seorang isteri? Islam suatu ajaran yang bertentangan dengan fitrah cinta yang perlukan setia? Islam tidak bersikap manusiawi terhadap perasaan isteri? Tiadakah konsep syura dan saling meredhai dalam institusi kekeluargaan Islam? Ah, ini Islam atau silap tafsiran? Gadis Cina ini hebat berperang dengan gelodak curiga.

Terpujuk dengan Majalah Solusi

                Gadis Cina ini mencari-cari info tentang poligami daripada youtube ceramah. Dia berharap ilmu dapat memberikan cahaya untuk hatinya meletakkan ‘sudut pandang’ yang betul terhadap sesuatu isu sepertimana yang Islam kehendaki.
                “Isteri ni macam seliparlah. Yang lama kita tinggalkan di tangga. Yang baru kita bawa masuk ke dalam rumah. Ataupun begini. Yang lama, kita bagi Mercedes. Yang baru kita bagi Viva. Mercedes untuk disimpan di rumah. Viva untuk dibawa berjalan-jalan,” terang seorang penceramah dalam youtube.
                Setitis demi setitis air mata berguguran di pipi gadis Cina ini. Beginikah Islam melayan wanita? Ini Islam atau silap tafsiran? Bukankah Nabi melayan isterinya secara adil? Membuat undian sebelum berpergian? Mungkin ustaz ini cuma bergurau. Gadis ini cuba berbaik sangka terhadap ustaz yang disayanginya itu. Tapi jiwanya tetap pedih terhiris. Dia sedikit terpujuk membaca sirah Nabi. Gurauan baginda sentiasa menggembirakan, bukan mencincang perasaan orang.
                Gadis Cina ini kemudiannya membeli Majalah Solusi berkait isu Misteri Poligami. Hatinya sedikit terpujuk apabila melihat hukum-hukum sebenar poligami dalam Islam. Asalnya harus, boleh bertukar sunat, makruh dan haram. Bukan boleh diambil mudah. Syaratnya ketat dan payah. Bahkan, diterangkan monogami Nabi jauh lebih sunnah, selama 25 tahun lamanya. Poligami cuma 10 tahun.

Lebih Bahagia Menjadi Umat Pertengahan

                Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa  keadaan umat Islam dewasa ini umumnya menempati posisi ekstrimis dan apatisme, padahal kita sering membaca firman Allah untuk menjadi umat yang pertengahan.
                Kata beliau, “Masih ada yang menganggap wanita sebagai makhluk yang hanya memiliki sedikit kecekapan. Bagi lelaki, ia adalah hamba seperti alat untuk memuaskan dahaga seksual bila lelaki mengkehendakinya. Kemudian, kehormatannya dapat dimiliki dengan memberi sejumlah harta, dan dapat ditalak bila-bila masa saja dikehendaki tanpa ada hak sedikitpun untuk mengelak dan mendapatkan ganti rugi. Sehingga sebahagian mereka menganggap wanita bagaikan sepatu yang dapat dipakai dan dibuang bila tidak diperlukan lagi.”
                Saya percaya, di Malaysia ramai lelaki yang meletakkan persepsi terhadap wanita di tempatnya yang wajar. Malang bagi gadis Cina ini, dia belum menemui golongan lelaki-lelaki sejati ini sebagai pembimbingnya. Bahkan menemui golongan seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Suami Mengabaikan Nafkah

                Gadis remaja ini teruji lagi. Dia mendapat info bahawa wanita dilarang keluar rumah. Suamilah yang wajib mengajarnya agama. Realitinya, ramai suami pada hari ini bukanlah beragama sangat. Jika beragamapun, sibuk 24 jam. Apabila wanita dilarang keluar rumah untuk belajar agama, bukankah ia hanya menghantar wanita ke alam kebodohan?
Tidak cukup dengan itu, suaminya culas nafkah. Hidup menganggur dan malas berkerja. Dia cuba bersabar. Tekanan hidupnya memuncak. Setiap hari bertengkar, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan.
Gadis itu tekad mahukan perceraian. Dia tahu sepatutnya perceraian itu menjadi jalan terakhir. Dia sudah berusaha menyelamatkan pernikahannya. Namun, rumah tangganya terus-terusan lebih mengumpul dosa daripada pahala. Setiap hari, kebenciaan kepada suaminya semakin membesar.
Semua Muslim yang dikenalinya berpesan, “Jangan minta cerai! Nanti tak bau syurga.”
“Kalau bercerai tu semuanya buruk, kenapa Islam halalkan perceraian?” protes gadis ini.
“Ia hak lelaki. Isteri kena sabar saja,” pesan mereka lagi.
                Gadis ini merasakan Islam tidak memahami. Ini Islam atau silap tafsiran?
“Islam jahat!” Tempik batinnya sambil mencabut tudung. Dia keluar rumah dengan tidak menutup aurat. Air matanya berjuraian. Dia geram terhadap Muslim tapi dia memilih untuk menghukum ‘Islam’. Dia rindukan araknya sebagai penenang jiwa. Bahkan, tali penggantung nyawa sering muncul di minda.
Profesor Syeikh al-Qaradhawi menerangkan, “Ada golongan yang menganggap, apabila wanita yang telah diperisterikan oleh seorang lelaki yang tidak dicintainya, dan dia tidak mampu mencegah kemarahan suaminya atau tidak mampu menghindarinya, maka tiada pilihan lain, harus bersabar dengan kesakitannya. Harungilah kehidupan yang pahit sehingga suaminya menjatuhkan talak ke atasnya atau talaq khuluk (membayar mahar suaminya kembali). Bila kedua perkara ini tidak terjadi maka tiada jalan lain baginya untuk melepaskan diri dari tali perhambaan itu.”
Ini tidak benar!
Islam memanglah mengecilkan skop talaq. Tapi bukan dengan cara menyekat hak seorang isteri yang teraniaya dengan sikap suaminya untuk dibebaskan. Talaq cuba dikecilkan dalam Islam dengan beberapa cara:
1.        Mengajar umatnya cara membuat pemilihan calon terbaik sebelum bernikah.
2.       Melihat wanita yang dipinang sebelum akad samada lihat berdepan, hantar wakil atau mengintai dari jauh.
3.       Meminta wali menikahkan puterinya bukan dengan sembarangan orang tapi dengan calon yang diredhai agama dan akhlaknya.
4.       Mensyaratkan keredhaan wanita untuk berkahwin dengan orang yang meminangnya.
5.       Menjadikan keredhaan wali serta persepakatannya sebagai perkara wajib atau sunat agar perkahwinan itu tidak mendapat tentangan keluarga.
6.       Mengarahkan bermesyuarat dengan para ibu dalam persoalan perkahwinan anak-anak perempuan.
7.       Mewajibkan agar bergaul dengan harmoni, menjelaskan hak dan kewajipan antara suami isteri, menyemaikan keimanan agar beriltizam dengan batas-batas syarak dan bertaqwa kepada Allah.
8.       Menganjurkan agar suami dapat menerima realiti agar ia tidak terlalu berharap kesempurnaan pada isterinya. Begitulah sebaliknya.
9.       Menyeru para suami agar menggunakan akal dan kemaslahatan jika dia merasa tidak senang terhadap isterinya seperti dalam surah an-Nisa’, ayat 19.
10.   Mengarahkan para suami agar mengubati isteri yang derhaka dan melakukan maksiat dengan cara yang hikmah  dan beransur-ansur, tidak terlalu keras,dan tidak terlalu lembut sebagai mana surah al-Nisa’. Ayat 34.
11.   Mengarahkan masyarakat agar campur tangan ketika berlaku persengketaan antara suami isteri dengan membentuk ‘majlis keluarga’ dari kalangan orang yang dipercayai.

Doakan Dia.

Gadis cantik yang dulunya manis berbaju labuh dan bertudung ala-ala Hana Tajima, kini termenung murung di bilik pakar Psikitari. Masalah fahamnya terhadap Islam dan Muslim belum selesai. Perlukan masa. Mari berdoa untuknya. Mari lakukan sesuatu agar ‘diri kita’ lebih jernih kefahaman dan tidak menyumbang fitnah kepada agama kita sendiri.
Reactions:

Tagged:

30 comments:

  1. sy x nafikan memang msyrkat mslim msia mlayu trutamanya t'lalu mementingkan feqah sblum memantapkan keteguhan akidah t'lbih dhulu. x hairan la gdis ni slah anggap t'hdap islam itu sndri. sbb msyrkat kta t'lalu cpat mghukum dan t'nyata slah kta sndiri. :((( *t'kilan

    ReplyDelete
  2. islam itu agama yang indah & mudah, mengapa ada segelintir orang buat agama Islam tu seperti menyusahkan?

    ReplyDelete
  3. Kadang-kadang, persepsi seseorg yg terlalu taksub dan melabelkan seseorang dengan meletakkan sewenangnya halal dan haram menjadikan seseorg yg baru berjinak dalam Islam dan baru bertatih untuk menjadi muslimah yg sempurna jadi terbantut. Serba tidak kena.

    Kita tak boleh untuk mengubah seseorang secara mendadak, ia perlu melalui fasa-fasa secara step by step. Dari merangkak, kepada berdiri, berdiri kepada berlari dan seterusnya. Tidak patut untuk terus mengecam itu salah dan ini salah. Kita sebagai pendakwah harus mengambil pendekatan yg sewajarnya, tidak terus meletakkan mereka dalam keadaan keliru dan tidak selesa. Islam memudahkan, itu pasti. Toleransi dalam Islam itu ada. Jgn meletakkan sesuatu sebagai 100% salah. Cthnya, definasi bertudung labuh hanya untuk yang bertudung labuh bulat..yang bertudung labuh tiga segi tidak dikira labuh. Sangat kesian dgn mentaliti sesetengah orang yang melabelkan sedemikian.

    Sebagai seorg Islam, perlu berfikir dengan lebih luas, bukan hanya pada skop yang kecil. Itulah pentingnya pembacaan, mengikuti kelas agama. Dari situ kita dapat meluaskan pengetahuan. Jgn jadi bodoh sombong, tidak mencari ilmu di tempat lain dan menganggap apa yang sedia ada suda mencukupi. Lalu, dengan ilmu yang tidak seberapa itu menghukum orang lain dengan sewenangnya.

    Wanita cukup istimewa dalam Islam, dilindungi bahkan wanita umpama permata dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Masakan tidak, sedangkan nabi kita sendiri meraikan wanita dalam hadisnya. Individu yang meletakkan wanita umpama selipar, yg tempatnya hanya di kaki sangat-sangat tidak boleh diterima. Wanita patut dilindungi, bukan disepak-sepak. Bukan diletakkan dengan serendah-rendah tempat dan dijadikan sebagai symbol seks semata. Allahurabbi. Sedih dengan mentality mereka ini :(
    Diharapkan gadis tersebut dapat memahami Islam yang sangat indah ini..dan didoakan beliau akan segera sembuh dan menjadi gadis muslimah yang lebih bersemangat.

    Wallahuaklam.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum.

    Memang benar, kebanyakan hukum hakam masih amat mengelirukan sehingga ada orang yang ingin mengambil kesempatan atas nama agama. Bukannya Islam tidak adil sebaliknya ia menjadi masalah atas tangan manusia sendiri.

    Secara peribadi, saya juga mengenali beberapa orang Muallaf lenyap begitu saja tanpa mengetahui apakah keadaan mereka sekarang. Golongan Muallaf masih amat lemah dan tidak berdaya menempuh begitu banyak halangan sekiranya tiada muslim yang ikhlas membantu.

    ReplyDelete
  5. Sedihnya, muslim yang mendapat hidayah disisihkan dan dipandang sinis oleh muslim yang hanya Islamnya disebabkan oleh keturunannya.

    ReplyDelete
  6. Syukran Ustazah, entri menarik yg menyedarkan diri utk terus meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam....

    ReplyDelete
  7. Tolong ajak dia hadir training Character Building - Warisan Ummah Ikhlas. InsyaAllah dia akan bangkit.

    ReplyDelete
  8. saya turut bersimpati..
    sepertinya saya kenal siapa gadis itu....

    Moga diberi hidayah dan kekuatan...

    مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْـرًا يُـفَـقِـهْهُ فِي الدِّيْنِ

    Ertinya: “Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, Dia akan menjadikannya faham tentang (urusan) agamanya.” (Hadis shahih, diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ Bayanil ‘Ilmi, dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA)

    sungguh, saya menyayangi gadis ini walaupun hanya mendengar kisahnya.. moga dijauhkan dari segala kekeliruan..

    ReplyDelete
  9. InshaAllah..semoga dijernihkan hati kita dan masyarakat sekeliling dgn kefahaman ISlam yg betul..

    ReplyDelete
  10. Semoga Allah membantu nya, saya juga kita semua.

    ReplyDelete
  11. Memang benar sekali perangai orang melayu kita.. jangan kata mualaf aje yang murtad tapi orang melayu sendiri pun boleh jadi murtad dgn cara ustad & ustazah ni... semuanya berdosa. dan tak betul di pandangan mereka...

    ReplyDelete
  12. Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah...cuma cara menegurnya yang kena betul...jangan keras sangat...sopan santun kan amalan kite. Pernah dengar cerita tentang seorang tua mengambil wudhuk secara salah. Perkara ini dilihat oleh dua budak kecil. Apa yang kedua2 budak ini buat bukannya menegur pun, kerana takut orang tua itu tersinggung. Setelah berbincang sesama sendiri, kedua2 budak ini pun berjumpa dengan orang tua itu. Kata mereka" Pakcik, boleh kah tengok siapa yang betul antara kami yang ambil wudhuk kerana dia kate dia betul, saya kata cara saya betul".... Setelah lihat kedua2 budak itu berwudhuk, orang itu sedar yang kedua2 budak itu berwudhuk sama sahaja....dan kemudiannya sedar yang dia sendiri yang salah..... :)

    ReplyDelete
  13. Semoga Allah SWT mengasihi dan menyayangi gadis ini dan permudahkan segala urusan dunia dan akhiratnya ;p

    ReplyDelete
  14. Ketika membaca tajuk entri ini, saya berasa terkilan kerana masih ada golongan pendakwah bersikap sedemikian! Jika dibiarkan, hal ini akan menjadi bahan hujah pembenci agama. Semoga semua muallaf akan terpandu ke arah kebenaran. Amin~

    ReplyDelete
  15. pentingnya pendidikan yang betul mengenai deen. jangan putar belit fakta yang kita tak tahu sehingga auta menjadi fakta. sedihnya, masyarakat terlalu diskriminasi

    ReplyDelete
  16. Sedihnya dengan masyarakat Islam kita sendiri, bila dilahirkan sebagai seorang Islam ramai antara kita menganggap cukuplah sekadar dengan ilmu agama yang dipelajari di sekolah dan mengamalkan yang wajib itu sahaja sedangkan banyak lagi yang kita tak tahu. Berapa ramai dari kalangan kita yang dilahirkan sebagai seorang Islam tahu bahawa terdapat banyak mazhab di dunia Islam sebenarnya, dengan fahaman yang sebesar kuman kita mudah menjatuhkan hukum pada suatu perkara dan dengan mudahnya memperlekehkan orang lain.

    Semoga Allah terus memelihara aqidah gadis itu dan terus memberi petunjuk dan hidayah buat kita sebagai seorang Islam.

    ReplyDelete
  17. Inilah antara masalah yg membelenggu para wanita kita bkn hanya pd wanita mualaf ini.. Moga wanita ini disembuhkn jiwanya dgn nur.. Wanita acapkali di label dgn sesuatu yg negatif dan dianggap berdosa terutama dlm bab rumahtangga.. Sy sering membaca pendapat2 ustaz2 yg mengatakan
    "sejahat mana pun suami, isteri mesti bersabar"
    "jgn sesekali mencerita aib suami biarsekalipun nyawa isteri terancam" sejahat manapun suami itu antara dia dgn Allah" setiap muslim & muslimat ada tanggungjawab dlm 'mempromosi' islam bkn hanya terhad pd kumpulan ahli agama shj..
    Sedih bila ada ust yg sering merendahkn wanita dlm ceramah2nya dgn melabel kn dgn gelaran & taksiran yg cukup menyentap jiwa termasuk dlm bab2 seksualiti..

    ReplyDelete
  18. mmg ramai antara kita yg "born as muslims" bersikap begini. saya rasa, , ramai tak sedar yg cara mereka tak berhikmah dan menjauhkan orang. kadangkala saya pun begitu, terutamanya sewaktu bekerja dgn rakan non muslim, terkadang kecundang dgn amarah, padahal itu bukan akhlak islamiah...in sha Allah saya akan terus mujahadah utk kawal diri saya..

    saya pernah menyaksikan sendiri sewaktu menghadiri Konvensyen Fiqh Ummah. Seorang gadis cina non muslim dijemput utk bicara dlm 10 min ttg mengapa some religions dont make sense, islam makes more sense. habis majlis, saya perasan 2 pemuda muslim bersemangat menyapa gadis cina ni. dan ditanya bertalu2 kpd gadis ni "mengapa you tak peluk Islam kalau you dah tau?" Saya lihat gadis itu kelihatan tak selesa dgn soalan yg umpama disiasat saja...inilah bukti dan hakikat mengapa ramai non muslim di negara kita tak tertarik dgn Islam, kerana kita yg bergelar muslim tetapi akhlak/approach kita tak menggambarkan Islam yg sebenar...

    ReplyDelete
  19. LAhir sebagai Muslim bukanlah seperti orang yang sudah dilahirkan dan ketika membesar dia mencari Islam... Itu adalah sesuatu yang teramat berbeza...
    MAlah mereka lebih hebat daripada kita..
    Sungguh diri tertarik dan berkenan dengan si Gadis cina Ini... SubhanAllah..
    Tetapi diri ini cukup kecewa dengan mereka yang sering menuding Jari dan terus menuding jari menyatakan kesilapan mereka yang masih baru...
    Lain lah pula mereka yang sudah lama.
    Namun tetapi,
    Perubahan seseorang itu bukanlah seperti memotong sehelai daun sebegitu pantas.. Tetapi ingin melakukan perubahan itu seperti ingin memasak air yang sejuk...
    Perlahan2, mengambil masa yang lama untuk panaskannya..
    Andai diberi peluang Ingin ku cari dia menjadi tiang seriku

    ReplyDelete
  20. sebelum tu semoga dia sembuh....

    ReplyDelete
  21. sedih bila mengenangkan "ahli bijak agama" yang sempit fikiran yang hanya suka melabel org lain yang dirasakan kurang beriman berbanding dirinya... org yang biasa2 mcm kami ni perlu di didik dan dibimbing..bukan dikritik... terima kasih ustazah, atas entri ni...saya harap akan ada orgyang menegur org2 "bijak agama" berkenaan... janganlah prejudis terhadap penampilan seseorang...

    ReplyDelete
  22. Bodohnya! Islam itu mudah sangat... kenapa susahkannya? Islam itu indah sangat.... kenapa kotorkannya? Ini yg yahudi mahukan.... tunggu la.... apabila islam setaraf tapak kaki baru. Nak sedar ka? Ni boleh menimbulkan kemarahan orang islam! Erm....

    ReplyDelete
  23. kesian gadis cina ni..beliau dikelilingi dengan orang islam yang entah hapa hapa..harap harap iman beliau masih kekal sehingga nafas terakhir beliau..

    ReplyDelete
  24. Tak hairan dgn apa yg berlaku. Saya sendiri menyimpan byk khazanah melalui pengalaman betapa Islam sering dfitnah oleh mrk yg kononnya tinggi ilmu. Sudi2 lh ke blog saya

    evolusijiwa.blogspot.com

    ReplyDelete
  25. Saya selalu ditanya tentang hukum islam oleh non muslim...diorang cakap islam susah...bila saya bagi keterangan diorang akan cakap....la....senangnya islam....kite jangan cerita yg susah2 dan pelik2....permudahkan islam....insyaallah mereka akan lebih menghargai...

    ReplyDelete
  26. Semoga Allah terus memberi hidayah kepada gadis ini, dan semoga muslim di sekelilingnya juga diberi hidayah oleh Allah

    ReplyDelete
  27. Allahu. Semoga Allah SWT permudahkan segalanya. Islam tercemar dengan perbuatan ummatnya. Ya Allah, lindungilah kami. Tuntunilah langkah kami. Amin.

    ReplyDelete
  28. Betul... Sy yg lahir sebagai islam ni pun sangat teringin nak belajar. Tapi bila bertanya je org trus ckp lahir je islam tapi jahil agama. Perempuan x boleh bagi pendapat, lelaki aku kuasa vote. Tu selalu sy dengar. Jadi mana hak saya? Selalu rasa ditindas. Sedangkan bila baca sirah nabi x de pun rendahkan martabat wanita.

    ReplyDelete
  29. amalkanlah doa agar dikurniakan taufik dan hidayah iaitu kekuatan untuk melaksanakan hidayah

    ReplyDelete
  30. Allah....siannya...sapa ya gadis ni...nak tolong sedaya mampu..

    ReplyDelete