Damailah Dalam Pelukanku
Fatimah Syarha
●
Monday, 16 July 2012
![]() |
| Tidurlah sayang. Selagi Allah ada, tiada siapa boleh buat kita derita. Itu nikmat jiwa. |
KESEPIAN
Malam minggu yang
tenang. Sementara si comel baru tidur setelah penat bermain, aku mencari masa
mengisi aktivitiku.
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Rengekan
si comel menyentap salur separuh bulat telingaku. Aku lantas bergegas masuk ke
kamar tidur. Terletak bersebelahan dengan perpustakaan mini, tempatku berkarya.
Dalam
suramnya cahaya lampu tidur, sinar wajahnya kemilau. Pandanganku menyimbah
kasih. Dia tampak kesedihan. Memerlukanku.
Apabila tanganku menepuk belakangnya, dia pantas terlena semula. Tenang. Mimik mukanya seakan cuba memberitahuku,
Apabila tanganku menepuk belakangnya, dia pantas terlena semula. Tenang. Mimik mukanya seakan cuba memberitahuku,
“Ummi, temankanlah.”. Kusedar dia perlukan waktu untuk mengerti
tentang kegelapan dan kesepian. Moga ia damai dalam pelukanku.
Dari
alam rahim yang akrab denganku, dia hadir ke dunia yang asing ini. Tanpa
mengerti suatu apa pun. Kubacakan doa buatnya lalu kuhembus ke ubun-ubun.
Terima-kasih Allah kerana sudi mengingatkanku agar mendoakan
pinjaman-Nya ini. Doa seorang ibu tinggi di sisi Ilahi. Terasa nikmat menjadi
ibu.
Damai ku merenung wajah bersih sedang beradu. Kelak, di alam barzakh, aku sangat kebulurkan doanya. Aku yakin, jika seorang ibu ingin mendidik anaknya mendoakan ibubapanya, ibubapa terlebih dahulu kena rajin mendoakan anak. Didikan melalui tauladan.
SUSU TERBAIK
DI DUNIA
Aku
kembali ke perpustakaan mini. Baru menyapa kerusi, melodi manja kembali
kedengaran. Kali ini bukan rengekan tapi tangisan.
“Aaaaaaaaaaaaaaaa’…”
Tangisan itu
menandakan si comel ingin memberitahuku salah satu daripada tiga perkara:
1.Inginkan susu.
2.Lampin basah.
3.Perut kembung.
Dia inginkan susu. Aku membuat
tafsiran. Sesaatpun aku tidak bertangguh. Jika nanti aku tidak mahu anakku
bertangguh pada panggilanku, aku perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh tidak
bertangguh pada panggilannya. Pantas ku mendapatkan si jantung hati. Kusuakan
susu terbaik di dunia buatnya, susu ibu.
Subhanallah! Ajaib kumelihat bayi kecil ini menghisap. Allah yang maha penyayang memberi hidayah semulajadi untuknya belajar tanpa diajar. Gifted konowledge. Walau seperit mana cabaran, aku akan berjuang untuk memberikan hak susu terbaik di dunia buat anakku. Seboleh-bolehnya hingga dua tahun penuh. Ku yakin, susu ibu memberi kesan besar terhadap kekuatan antibodi, kestabilan emosi, kelembutan pekerti dan kecerdasan aqli.
Subhanallah! Ajaib kumelihat bayi kecil ini menghisap. Allah yang maha penyayang memberi hidayah semulajadi untuknya belajar tanpa diajar. Gifted konowledge. Walau seperit mana cabaran, aku akan berjuang untuk memberikan hak susu terbaik di dunia buat anakku. Seboleh-bolehnya hingga dua tahun penuh. Ku yakin, susu ibu memberi kesan besar terhadap kekuatan antibodi, kestabilan emosi, kelembutan pekerti dan kecerdasan aqli.
PELUKAN SI
KECIL
Ritma
lembut tepukan ibu ternyata memberi keselesaan padanya. Kaki kecilnya diangkat
dan sekan cuba
memelukku. Kurapatkan badanku dengan badannya agar dia berasa begitu dekat
denganku bagaikan berada di rahim ibu. Kepalanya tenang mendekat ke jantungku.
Bunyi hisapannya menghiburkan.
Bayiku kenyang.
Alhamdulillah. Kugosok-gosok belakangnya. Dia terlena. Kucium berkali-kali. Doa
kuhembus ke ubun-ubunnya. Perlahan-lahan aku bangun meninggalkannya. Tugasanku
di meja studi perlu dibereskan.
SEKSANYA MAYAT BAYI INI
Dalam longgokan
buku, terselit senaskhah akhbar. Tarikhnya sudah melewati beberapa hari namun
belum sempat kubaca semuanya. Bebola mataku terpanah ke satu tajuk, “Seksanya
mayat bayi ini.” Kelihatan gambar mayat bayi dalam keadaan ngeri, dicakar-cakar
dan terputus tangan. Belum membaca isinya, air mataku berderai. Sejak
bergelar ibu, hatiku mudah tersentuh dan mataku mudah hujan. Kuteruskan bacaan.
Astargfirullah!
Seorang remaja sanggup membuang anaknya yang baru lahir di tepi jalan. Apa yang
berlaku? Bayi yang sedang menangis ketakutan itu menjadi habuan anjing-anjing
liar.
Seorang pemuda
ternampak seekor anjing penuh kurap menggonggong tangan kecil bayi. Anjing-anjing lain mengerumuni badannya. Daging si kecil dirobek-robek.
Astragfirullah! Astragfirullah! Air mataku tak tertahan. Aku rasakan ia angkara zina. Alangkah jijiknya dosa zina yang membawa kepada dosa pembunuhan.
Astragfirullah! Astragfirullah! Air mataku tak tertahan. Aku rasakan ia angkara zina. Alangkah jijiknya dosa zina yang membawa kepada dosa pembunuhan.
RAYUAN SI COMEL
“Ma…..ma….ehek…ehek…”
Si comelku
memanggil. Aku mendapatkannya. Hatiku masih remuk rendam. Simpati melihat
puteriku gelisah keseorangan. Takut kesepian.Terbayang-bayang bayi malang itu
memanggil-manggil ibunya ketika ditinggalkan.
Mohon simpati.
Mohon dikasihani.
Mohon dibawa bersama.
Namun, apakan daya, si kecil tak mampu berkata-kata.
Bicaranya hanya lewat tangisan..
‘Ibu…dunia ini
asing bagiku. Jangan tinggalkan aku kesepian. Aku takut duhai ibu. Segala yang
ada di sekelilingku terasa suatu ancaman kecuali dakapamu, ibu.
Kenapa membuangku?
Apa dosaku?
Tidak cukupkah ibu membuang Allah dari hidupmu selama ini?
Ibu mahu
membuang Allah sekali lagi dengan membuang diriku?
Bukankah diriku satu peluang
pahala buatmu agar ibu kembali pada-Nya semula?’
Ku yakin, tangisan sarat rayuan seorang bayi pasti menghantui remaja itu sepanjang usia. Ironinya, itu hanyalah salah satu
kes daripada ribuan kes pembuangan bayi di Malaysia. Makin bertambah dan makin
dahsyat caranya saban hari. Petanda kiamat hampir tiba.
BICARA HATIMU
Setiap insan
sebenarnya ingin menjadi seorang ibu atau bapa yang bertanggung jawab terhadap
bayinya. Memeluk manja dan memberi perhatian. Fitrah insan begitu.
Hanya dengan perkahwinan yang halal dapat memberikan keberkatan nikmat jiwa
menjadi ibu atau bapa. Jalan zina hanya mendorong dirimu menyahkan si comel
yang tak berdosa.
Remaja di luar sana, kurayu padamu,
jauhilah zina. Kenikmatan sementara itu hanya menatijahkan derita
selama-lamanya. Allah tidak menyuruh membunuh fitrahmu sebaliknya Dia
membentangkan cara halal yang lebih indah untuk menyalurkan fitrahmu itu.
Pilihlah cara mulia dan bermaruah. Mendekati zina hanyalah membawa dirimu dekat
dengan bahaya. Kau pasti tak berdaya.
Buat remaja yang
sudah terjebak dalam zina, bertaubatlah segera selagi Dia masih memberi
peluang. Andai kau ditakdirkan mempunyai zuriat, jadikan dia bak emas bernilai. Tumpahkan kasih-sayang dan pengorbanan. Moga-moga ia boleh menjadi
sebab untuk 'membeli' sebuah keampunan.
Tolonglah, jangan dibuang! Damaikan si kecil itu dalam pelukanmu. Kasihanilah dia agar nanti Allah kasihan padamu.
Tolonglah, jangan dibuang! Damaikan si kecil itu dalam pelukanmu. Kasihanilah dia agar nanti Allah kasihan padamu.
Teguh pada prinsip. Fleksibel pada perlaksanaan. Itu watak Islam.
Fatimah Syarha
●
Sunday, 15 July 2012
Bicara soal haid
Fatimah Syarha
●
Monday, 9 July 2012
Pakar Bedah Ghaib
Fatimah Syarha
●
Sunday, 8 July 2012
| Rupa-rupanya, bukan manusia sahaja pandai 'operate', malaikat jauh lebih 'terer'... |
Pakar Bedah Ghaib Menggerunkan Halimah
Kambingpun Ceria
Warna
alam berubah daripada kuning kepada oren. Waktu Asar menjelma. Halimah tiba di
kampung halaman. Tanah tandus menyambut kehadiran bayi mulia.
Emmbekkkk…
Bunyi
kambing-kambingnya terdengar ceria. Ia baru pulang dari tempat gembalaan.
Halimah menjengukkan kepala bagi meninjau binatang-binatang berjasa itu.
“Ya Allah!”
Halimah terkejut
melihat kantung susu kambing-kambingnya bengkak. Susu bertitis-titisan minta
diperah. Halimah melihat pula kambing-kambing jirannya. Kurus-kering dan tidak
bertenaga.
“Keberkatan apakah
ini?” Halimah teruja.
Hari seterusnya,
jiran-jiran Halimah menggembalakan kambing mereka di tempat kambing-kambing
Halimah digembala. Mereka berharap moga-moga keberkatan itu menempias kepada
kambing mereka juga.
Kampung Bani Saad Menjadi Subur
Selama 2 tahun
bayi kecil bernama Muhammad membesar dalam pelukan Halimah, keluarga itu
dilimpahi rezeki yang mencurah-curah. Tanah gersang menjadi subur. Kambing
kurus menjadi gemuk. Tanam-tanaman ceria disirami hujan.
Halimah kagum
dengan Muhammad. Kebanyakan bayi seusianya tidak mahu makan makanan lain selain
susu ibu hinggalah berusia dua tahun. Tapi Muhammad berbeza. Sebelum berusia
dua tahun, dia sudah pandai menyesuaikan diri dengan makanan pelengkap. Halimah
menceraikan Muhammad daripada susuannya ketika usianya genap dua tahun.
Kasih Halimah
kepada Muhammad semakin mengakar teguh hari demi hari. Namun janji tetap janji.
Halimah tahu dia perlu menghantar Muhammad ke pangkuan ibunya.
Berwawasan Jauh
Sepanjang
perjalanan menuju ke Makkah, Halimah berasa sebak dan sayu. Seakan tidak
sanggup untuk berpisah dengan bayi itu. Bukan semata-mata disebabkan oleh
naluri kasih bahkan juga kerana risaukan risiko masa depan Muhammad andai ia
membesar di Makkah.
Saat berjumpa
Aminah, Halimah merayu, “Kami harap anak ini tetap bersama kami. Kami khuatir
lingkungan Makkah akan memberi pengaruh buruk kepadanya.”
Sebagai seorang
ibu yang sangat cintakan anaknya, Aminah rasa keberatan untuk melepaskan
Muhammad sekali lagi. Namun dia lebih memikirkan masa depan Muhammad. Dia
kagumi sikap Halimah yang berpandangan jauh.
Aminah terfikir, andai
Muhammad membesar di kawasan perkampungan, bahasa Arabnya akan menjadi lebih
fasih dan lancar. Bahasa yang ada di Makkah bercampur dengan pelbagai bahasa
pengunjung kaabah yang datang dari pelbagai arah. Lagipun, tanpa sokongan
vaksin, penyakit senang merebak di Makkah tika itu.
Aminah merelakan
putera tercinta kembali semula ke perkampungan Bani Saad. Halimah ternyata
sangat gembira.
Malaikat Pakar Bedah
Putera Halimah
berlari tergopoh-gapah. Badannya seram
sejuk dan menggeletar. Wajahnya sangat ketakutan.
“Ibu!!!!!Ayah!!!!”
Dari jauh dia menjerit-jerit.
Halimah dan
suaminya mendapatkan puteranya itu.
“Ibu, ayah,
Muhammad ditangkap dua orang lelaki berpakaian putih. Dia ditidurkan, lalu
perutnya dibuka. Kedua orang itu mengeluarkan sesuatu dari perut Muhammad,” adu
anak Halimah.
Halimah dan
suaminya cemas. Mereka mencari Muhammad di kawasan belakang khemah. Mereka
mendapati Muhammad berdiri sendirian dengan wajah pucat. Dia nampak ketakutan.
Halimah mendakapnya.
“Apa yang terjadi,
nak?” tanya Halimah.
Muhammad
bercerita, “Saya didatangi dua orang lelaki berpakaian putih. Saya ditidurkan,
lalu mereka membelah perut saya. Mereka mengeluarkan sesuatu dari perut saya.”
Halimah dan
suaminya membawa Muhammad masuk ke rumah. Mereka berusaha menenangkan perasaan
Muhammad.
Suaminya berbisik,
“Abang takut anak ini kerasukan jin. Baik kita hantarkan saja kepada
keluarganya sebelum dia menjadi gila.”
Terdengar Petanda Kenabian
Halimah dan
suaminya bergegas ke Makkah. Tika itu usia Muhamamd dalam lingkungan 5 ke 6
tahun. Mereka berterus-terang menyatakan hasrat untuk mengembalikan Muhammad
kepada Aminah.
Aminah kehairanan.
Dia berkata,
“Bukankah dulu
kamu merengek-rengek mahu menjagakan Muhammad?”
Halimah menjawab,
“Saya takut terjadi apa-apa kepada Muhammad.”
Aminah curiga
dengan kenyataan itu. Dia mendesak Halimah menceritakan apa yang sebenarnya
telah berlaku ke atas Muhammad.
“Dia pernah
disentuh jin,” cerita Halimah berdasarkan sangkaannya.
“Tidak mungkin!
Jin dan syaitan tidak akan mampu menyentuhnya. Anakku ini mempunyai
keistimewaan sejak sebelum dilahirkan. Kalian mahu tahu?” bongkar Aminah.
Halimah
mengangguk. Aminah lalu bercerita,
“Saat aku
mengandungkannya, ada cahaya terang yang keluar dari perutku. Dari cahaya itu,
aku mampu melihat istana Bushrah di Wilayah Syam. Aku juga merasa ringan,
seakan tidak hamil. Saat dia lahir, saat tangannya menyentuh alas tidur,
kepalanya mendongak ke langit.” (Sirah Ibnu Hisyam, riwayat Abu Ya’la dan
Thabrani).
Halimah
kemudiannya pulang dengan kerinduan yang berat untuk ditanggung.
Halimah di Hati Nabi
Muhammad kini
menginjak dewasa. Membesar dalam keadaan yatim piatu kerana ibunya meninggal
ketika dia berusia 6 tahun. Tatkala usianya mencecah 25 tahun, baginda bernikah
dengan puteri bangsawan bernama Khadijah, bosnya sendiri.
Selang
beberapa waktu, Halimah datang menemui anak susuannya. Halimah bergembira
dengan perkahwinan mereka. Halimah berkongsi kisah duka tentang Kampung Bani
Saad yang sedang ditimpa kemarau dan kebulur.
Khadijah
mendengar berita itu. Beliau yang tidak mempunyai ibu mentua untuk berbakti
dapatlah memanfaatkan peluang berbakti kepada ibu mentua susuan. Khadijah
menghadiahkan 20 ekor kambing dan 20 ekor unta kepada Halimah.
Halimah
terharu. Dulu, dia hampir tidak mahu mengambil Muhammad sebagai anak susuan
kerana bimbang tiada upah tinggi yang bakal diterima. Muhammad kan anak yatim.
Namun, dia positifkan fikiran. Dengan kuasa Allah, harta berganda-ganda yang
diterimanya setelah Muhammad dewasa. Inilah namanya keberkatan. Ia sering
datang di luar jangka.
Anak Susuannya Seorang Nabi
Siapa tidak
bangga jika anak yang disusui sejak kecil berjaya menjadi orang besar? Halimah
lebih layak berbangga apabila anak yang disusuinya diangkat menjadi seorang
Nabi dan Rasul terakhir.
Selepas
terdengar berita kenabian Muhammad, Halimah berangkat meninggalkan kampungnya.
Tidak sabar menyatakan keimanannya kepada Muhammad. Terngiang-ngiang memori
silam tatkala puteranya menjadi saksi terhadap perkara aneh yang menimpa
Muhammad.
Rasulullah
menyambut kedatangan Halimah dengan sambutan hangat. Baginda melepaskan kain
serbannya dan dihampar ke tanah. Moga tiada debu yang menghinggapi ibu mulia
itu tatkala ia duduk. Sahabat teruja dan kagum melihat sendiri peribadi Nabi.
Halimah
meninggal di Madinah dan dikebumikan di makam Baqi’.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Social
Popular Posts
-
Apa yang Allah haramkan sebelum kahwin, sekejap saja. Sabarlah sekejap! Dah kahwin nanti, yang halal amatlah luas. Yang halal lebih indah ...
-
"Beruntung Haura'. Abi kata, siapa nak risik Haura' bila Haura' besar nanti, Abi akan pastikan Abi pernah tamrin dan mus...
-
"Sayang, dulu sebelum kahwin, Sayang tak ada pun ajak abang keluar makan sama-sama ke, 'dating' ke, Sayang takut Allah ye?&qu...
-
Semoga puteri-puteri kebanggaan ummi dan abi dapat mencontohi peribadi Ubbad (Tekun beribadah) dan Ruhama' (Berkasih-sayang) dalam ...
-
Analogi Harimau dan Nyamuk Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!! Gigi-giginya menye...

