Wednesday, 8 August 2012


Beriman dan menambah ilmu adalah cara kita menaikkan darjat di sisi Allah, rujuk al-Mujadalah,
ayat 11.


Kaji Sebelum Caci

Biarlah Tersalah Tidak Menghukum

Payahnya melangkah sebagai manusia, jika ingin memenuhi kepuasan semua orang. Relatif dan pelbagai. Kata pepatah Arab, kepuasan manusia adalah matlamat yang mustahil boleh dicapai.

Tatkala senyum, dileteri, senyummu terlebih gula.
Tatkala masam, diumpat, wajahmu tidak ceria.
Tatkala ke media, dituduh, sengaja mencari pujian. Gila glamour. Hendak menunjuk cantik.
Tatkala di rumah, dituduh tersepit. Terkongkong. Tidak pedulikan keperluan masyarakat.

Ya, Allah, kami mengadu kepada-Mu dengan sikap manusia yang suka tergesa-gesa menghukum. Kita tidak perlu membalas sikap keras mereka dengan kekerasan yang sama. Biar kita tersalah tidak menghukum daripada tersalah menghukum.

Kami berterima-kasih kepada-Mu, ya Allah kerana menghadirkan para ulama pewaris Nabi yang istiqamah menerangkan manhaj hidup yang mudah lagi memudahkan. Bukan bermudah-mudah. Bukan pula memayah-mayahkan. Itu watak Islam.


Apabila Manusia Tidak Faham Perbezaan Fiqih, Timbullah Label dan Umpatan

Ramai remaja mengadu kepada saya dengan 1001 dilema dan cerita.

“Saya ditengking oleh abang saya kerana memakai baju berwarna terang. Katanya, itu haram. Saya cuma mahukan warna untuk membangkitkan ‘mood’ ceria saya tanpa niat menggoda sesapa. ”

“Saya dilabel ‘tabarruj’ kerana memakai tudung pashmina, dan shawl. Padahal ianya sudahpun menutup aurat.”

“Saya dituduh mangsa fesyen dan ‘buruk’ kerana sanggul saya. Mereka tidak faham saya bersanggul bukan kerana fesyen atau hendak menunjuk. Sesetengah wanita berambut panjang perlu bersanggul agar tidak pening kepala. Seperti mana wanita lepas bersalin mesti bersanggul kemas demi kesihatannya.”

“Saya dituduh mengikut arus hanya kerana tudung ‘instant’ saya. Padahal, saya cuma mahu jimatkan masa daripada ‘iron’ dan ingin cepat bersiap.”

 “Buntut saya besar. Orang tuduh saya miang. Sebab saya jalan melenggang-lenggok. Itu bukan kesengajaan saya. Adilkah saya dilabel begitu?”

“Suara saya merdu dan lunak. Adakah saya perlu bisukan suara di dunia ini? Sudah tentu saya terseksa dan sakit tekak jika perlu meniru-niru suara perempuan yang kasar seperti lelaki. Bukankah cara komunikasi setiap orang mempunyai keasliannya yang tersendiri? Salahkah saya menjadi diri sendiri?”

“Ramai orang berkata saya berwajah cantik. Jika ada lelaki tergoda, dia yang perlu menundukkan pandangan atau saya yang wajib berpurdah? Purdah bagi saya menyulitkan urusan saya, mungkin ia tidak bagi orang lain. Tidakkah Islam memberi ‘rukhsah’ kepada kesulitan saya?”

“Saya lelaki yang dilahirkan lembut sejak kecil. Orang menuduh saya menyerupai wanita. Bukankah Allah tidak menghukum hamba-Nya sesuatu yang di luar kuasanya?”

Sabarlah remajaku sayang atas ketergesaan label-label manusia.


Tenangkan Hatimu dengan Ilmu dan Hujah, Bukan ‘Rasa-Rasa’

Dalam menghadapi kemelut ini, menjadi keperluan kita untuk mencari ilmu dan hujah dari sumber-sumber yang sahih. Ia akan memberi ketenangan hati. Jika kita salah, kita kena bersedia untuk betulkan diri. Jika kita tidak salah, kenapa kita perlu menyiksa diri untuk cuba memenuhi kepuasan mereka?

Rujuklah para ulama dan buku-buku besar mereka. Kenal pasti mana isu ‘khilaf’ dan mana isu yang disepakati. Kita akan terus bercakaran sesama sendiri apabila melayani perkara ‘khilaf’ sama seperti melayani perkara yang disepakati. Tingkat toleransi akan menjadi tinggi apabila kita mengkaji perbezaan dan memahaminya.

Kita juga perlu kenal mana 'prinsip' untuk kita teguh dan istiqamah. Mana pula 'perlaksanaan' yang Islam benarkan kita fleksibel. Thabat (teguh) dan murunah (fleksibel) adalah watak-watak Islam. Luaskan ufuk minda, jangan kita sempitkan.

Firman Allah SWT: "Allah mahukan kemudahan bagimu dan Allah tidak mahukan kesusahan bagimu."
Nikmatilah 'kemudahan' memilih apa yang baik selagi masih dalam batasan tanpa perlu terikat dengan 'kesukaan' orang yang pelbagai. Jika mereka tetap ingin melabel dan mengumpat, tersenyumlah. Sedih itu fitrah tapi usah bersedih-sedih. Di akhirat nanti, kita perlukan mereka untuk memikul dosa kita. Kita juga boleh mengikis pahala mereka. Indah bukan?


Fatwa Berat atau Fatwa Mudah Pilihan Hati?

Kita terbiasa dengan fatwa-fatwa yang berat terutamanya berkenaan masalah wanita selama ini. Sebabnya, kebanyakan para ustaz yang baik dan sudi mengajar kita itu terbiasa merujuk terus fatwa-fatwa lama dan kurang memerhatikan fiqah perbandingan (fiqh muqaran) dan fiqah kontemporari (fiqh mua’shirah). Alhamdulillah, sejuta penghargaan buat mereka kerana ijtihad para ulama masih dalam daerah pahala.

Jika ia terlalu menekan hidupmu dan menyesakkan dadamu, temuilah ketenangan beragama, kemudahan beramal, keindahan toleransi, kekuatan penyatuan dan kehalusan seni dakwah dalam fatwa dan ijtihad ulama-ulama muktabar kontemporari khususnya dalam masalah-masalah wanita. Para ulama muktabar itu antaranya ialah dari kalangan mereka yang bermanhaj pertengahan seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim Zaidan dan seumpamanya. Seperti juga para ulama yang lain, mereka berijtihad dengan ilmu bukan dengan nafsu.

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyusun fiqh keutamaan agar kita turut merujuk fatwa-fatwa kontemporari. Mereka menghargai pendapat lama dan meraikan tajdid (pembaharuan).

Syukur sangat kerana golongan ulama muktabar ini mendedahkan suatu kefahaman dan tafsiran al-Quran dan hadis yang membuatkan ummah berasakan Islam itu benar-benar mudah dan praktikal untuk diamalkan. Yang halal amat luas sebaliknya yang haram amat sempit dalam Islam.

Allah mempersoalkan kita di akhirat nanti berdasarkan ilmu dan kefahaman kita. Oleh sebab itu, bagi mereka yang tetap ingin berpegang dengan fatwa-fatwa yang berat, silakan. Tiada masalah. Tapi perlu bersedia beramal dengan fatwa-fatwa berat yang dipegang itu. Hormatilah orang yang tidak sehaluan. Selagi pandanganitu, Islam benarkan kita berbeza.


Fiqih dalam Manhaj Pertengahan

 Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan, di antara kemudahan yang diperlukan dalam fiqih ialah mempersempit dan tidak berlebihan dalam menetapkan taklif (beban) hukum kepada manusia. Terutamanya, dalam hal yang berhubungan dengan wajib dan haram.

Kita tidak diperbolehkan untuk memperluas yang wajib dan haram tanpa dalil. Melainkan kita harus menetapkannya dengan ketetapan nas yang sahih dan sharih (jelas) atas diwajibkannya yang wajib dan diharamkannya yang haram, atau dengan qiyas (bandingan terhadap sesuatu yang serupa) yang jelas illatnya (sebab) terhadap nas.

Para ulama salaf sangat berhati-hati dalam mengharamkan sesuatu atau mewajibkan sesuatu. Kecuali, apabila mereka memiliki dalil yang tidak diragukan sama sekali. Sebagaimana yang dilakukan mazhab Hanafi, jika tiada dalil kuat, maka mereka menurunkan hukumnya  dari darjat fardhu kepada wajib, dan dari darjat haram kepada makruh.

Dalam perkataan para ulama salaf, mereka sering menyebut perkataan yang berhati-hati, contohnya, “Saya tidak suka yang begini.” Tetapi mereka tidak berterus-terang mengatakan ianya haram, kecuali apabila mereka mengetahui ada dalil yang berterus-terang mengatakannya haram.

Contoh yang jelas, sebelum ayat haramnya arak diturunkan, sahabat menunjukkan sikap benci kepada arak tapi tidak berani mengatakannya haram meskipun banyak mudaratnya dalam masyarakat. Sehingga Allah secara bertahap menurunkan wahyu yang benar-benar mengharamkan arak. Barulah mereka berani mengatakan arak itu haram.


Islam Kasihankan Kita

Daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah, Islam benar-benar memperhatikan dalam mempersempit perintah dan memperluas “kawasan yang dimaafkan” kerana berasa kasihan kepada para mukallaf (orang yang memikul tanggung jawab), bukan kerana lupa.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika kamu menanyakan di waktu al-Quran itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah maha pengampun lagi maha penyantun. (Al-Maidah: 101).

Rasulullah SAW bersabda, “Orang Muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu hal itu menjadi diharamkan gara-gara pertanyaannya.” (Muttafaqun a’laih).

Baginda bersabda lagi, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan hukum-hukum maka janganlah kalian melanggarnya. Mewajibkan kewajipan-kewajipan maka janganlah kalian mensia-siakannya. Mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melakukannya, dan mendiamkan sesuatu kerana kasihan kepada kalian, bukan kerana lupa maka janganlah kalian mempersoalkannya. (HR Daruqutni dan al-Hakim, dan dia menilainya sahih. Rujuk Al-Qaradhawi, Nahwa Fiqh Muyassar).


Selagi Bukan Dosa, Bebaslah Memilih

Remajaku sayang,
Tenang dan yakinlah dengan setiap pilihan hidupmu. Selagi ia bukan dosa, nikmatilah kebebasanmu memilih mengikut cita rasamu sendiri. Berbahagialah menjadi diri sendiri. Pandangan manusia itu penting tapi memuaskan pandangan mereka semuanya adalah suatu tindakan yang ‘gila’. Paling penting, tiada konflik antara pilihanmu dengan kehendak Tuhanmu.

Prinsip awal yang ditetapkan oleh Islam, bahawa asal segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, baik berupa benda mahupun manfaat, adalah halal dan boleh, dan tidak haram kecuali ada nas sharih (jelas) yang mengharamkannya. Apabila nasnya tidak sahih, atau tidak sharih (jelas) menunjukkan pada yang haram, maka sesuatu itu hukumnya tetap harus. Kata Imam Asy-Syatibi,

“Tidak ada perintah kecuali dengan dalil, apabila tidak ada dalil yang menunjukkan perintah untuk melakukannya, maka perintah itu gugur dengannya.” (Rujuk kitab al-Muwafaqat oleh Asy-Syatibi).

Dari sinilah kawasan yang diharamkan oleh Allah menjadi sangat sempit. Kawasan yang dihalalkan semakin luas dan banyak. Hal itu tidak lain kerana nas-nas sharih yang mengharamkan sesuatu jumlahnya sangat sedikit. Sedangkan yang tidak dinyatakan halal atau haram, maka ia tetap pada hukum asalnya, iaitu mubah (harus) dan termasuk ke dalam kawasan yang dimaafkan oleh Allah SWT.

Sweetnya Allah pada kita, bukan?!





Reactions:

Tagged:

28 comments:

  1. terima kasih ustazah..
    kadang2 terlalu sukar berhadapan dgn org yg terlalu jumud..
    hinggakan apa yg boleh dibuat, disarankan tinggalkan....

    sebagai insan yg kurang ilmu, adakalanya berasa sungguh sedih dengan manusia yg suka menghukum... =(

    ReplyDelete
  2. banyak yg sy dapat dari apa yg ustazah katakan. terima kasih.

    ReplyDelete
  3. terima kasih ustazah input dan ilmu yang ustazah coretkan cukup bermanfaat buat saya...rupanya Allah sangat sweet pada kita =) ... Allah memudahkan bagi kita dan bukan merumitkan...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih Ustazah atas entry ini.Banyak yang saya belajar.saya juga sedang berusaha untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik lagi.. :)

    ReplyDelete
  5. Ustazah,jazakillah utk entry ini
    Untaian kata-kata yang membuka mata saya untuk menjadi diri sendiri
    dengan tidak membelakangkan 'Islam' itu sendiri :')


    Moga Ustazah terus sihat dan dipanjangkan umur oleh-Nya.

    ReplyDelete
  6. semoga kita akan terus mekar dalam kasih Allah.........

    ReplyDelete
  7. naam, yaa aiyullazi na aamanu minkum wallazi na uutul ilma darajah :)

    asif jiddan, sy ade sikit permintaan, boleh ajarkan sy sikit ilmu tentang KhurAin..? http://bulansyurgafirdausi.blogspot.com/

    ReplyDelete
  8. ustazah,, macam mana dengan pengacara wanita yang bermake up?
    saya pernah baca ustazah tulis,, Yusuf Al Qaradhawi tidak memuji wanita yang letak pelbagai warna pada wajahnya.

    Itu tak bermaksud haram kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sekadar menutup kusam pada wajah dengan bedak, pelembab bibir, celak....apa salahnya. bahkan menjadi satu keperluan pada sesetengah orang.

      tapi bila terlalu banyak warna pada wajah, misalnya terlalu biru di atas mata, terlalu merah di pipi dan bibir...ia tidak seperti akhlak terpuji.

      Ulama bermanhaj pertengahan tetap sangat berhati-hati menghukum. selagi tiada nas yang sahih dan jelas mengenainya, al-Qaradhawi cuma berkata 'tidak memuji', berbanding meletakkan 'hukum'.

      Pesan Nabi, mintalah fatwa dari hatimu...sekalipun orang memberi fatwa kepadamu. Tanyalah niat.

      Delete
  9. Jazakillah untuk entry kali ini , ustazah . alhamdulillah , banyak membantu memberi jawapan pada soalan soalan yang dah lama tersimpan . :)

    ReplyDelete
  10. Trm ksh ustzh,entry nie sgt bksan d haty sy..

    ReplyDelete
  11. Salam ustazah, entree ini sangat bertepatan dengan diri saya. Sewaktu mula2 belajar dikolej, saya adalah pelajar yang pertama bertudung labuh. ada sahabat yg memberitahu saya sekiranya saya meneruskan imej saya, mungkin saya akan ditindas atau dibuang. tapi saya kuatkan semangat, dan alhamdullillah.. kesan dari imej saya ramai sahabat2 baru yang kurang berani mengenakan imej berkenaan sudah berani memakai tudung labuh.
    Tetapi dengan bekalan ilmu yang sedikit, dan kerena dek tudung labuh saya dilebel ustazah oleh teman2 dan adakala dijadi bahan ejekan seperti "hantu kelambu":)..
    Kini saya hanya mengenakan tudung segera selepas berkahwin dan memerlukan kekuatan baru untuk mengenakan semula tudung labuh bila benar bersedia setanding dgn pemakaian tudung labuh itu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Teguh dengan prinsip menutup aurat. Fleksibel pada perlaksanaan mengikut keperluan...

      Delete
  12. 'Biar kita tersalah tidak menghukum daripada tersalah menghukum.'

    syukran atas penjelasan ini. moga2 pilihan yang kita ambil seiring dengan panduan dan landasan syariat Islam :)

    ReplyDelete
  13. Alhamdulillah ustazah. Terkadang bukan soal menutup aurat sahaja. Malahan soal jodoh juga ramai yang terlalu skeptikal. Ada yang berkata cinta sebelum nikah. Ada yang berkenalan sebelum nikah. Ada juga yang tidak bersetuju dengan menunggu yang tertulis di Luh Mahfudz. Sedangkan saya bersetuju dengan pandangan ustazah. bawah jodoh itu bersifat muallaq. Dan kita yang belum bernikah harus pertingkatkan potensi diri dan memelihara diri, bukan kerna si dia tetapi kerna Dia. Sekadar luahan. Terkadang ramai berbicara soal cinta yang terlalu 'keras' ataupun sebaliknya. Hanya Allah memahami hati yang berbaik sangka terhadap setiap perkara...

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum ustazah .
    saya ada satu kemusykilan..
    saya seorng yg brtudung labuh dan slalu m'hadiri majlis ilmu dan dakwah di kolej. tp suatu hari tu kawan sebilik saya menanyakan saya tentang fahaman politik saya. dia tanya saya skong siapa? and then saya ckp pdnya bahawa saya tidak menyokong mana2 pihak dan saya lebih tenang dengan tidak berckp mngenai politik. kmudian kawan saya kata saya telah berdosa dan telah mengabaikan sunnah nabi iaitu berpolitik. kawan saya menganggap bhawa saya bukanlah seorng muslimah yg baik. so, soalan saya ustazah...

    benarkah apabila kita tidak menyokong mana2 parti politik terutamanya parti politik islam kita dikira berdosa ?

    saya harap kawan saya memahami bahawa saya tidak suka akan politik dimalaysia yg kurang mesra dengan jiwa saya . terima kasih ustazah:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumussalam wbt.
      adik ada buku syarah risalah taalim?
      dalam tu ada dijelaskan konsep sebenar 'siyasah'...

      parti politik adalah SALAH SATU daripada cara bersiyasah...
      BUKAN SATU-SATUNYA....

      Siyasah terlalu luas maksud dan skopnya...
      Mentadbir bumi dengan menegakkan agama...
      kita berstrategi dalam setiap urusan dakwah kita itu juga disebut siyasah (politik)...

      nasihat akak..
      adik beli buku syarah risalah taalim tu, banyak sangat versi terjemahannya. Jelaskan konsep sebenar siyasah kepadanya agar tidak difahami secara sempit.

      Kasihani dia. Selagi dia tidak faham konsep itu secara luas, dia akan terus terperangkap dengan 'melabel' dan 'menghukum' orang lain seenaknya...

      Delete
  15. salam ustazah,
    tolong terangkan bagaimana warna2 terang yg tidak boleh dipakai, saya ada terbaca dlm beberapa blog mengatakan warna2 yg boleh menarik perhatian adalah tabarruj. contohnya warna pink yang terang, oren. jika kita pakai, adakah ia dikira tabarruj ? terimah kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam wbt. dalam buku WANITA DALAM FIQIH AL-QARADHAWI, menjelaskan...Islam tiada model pakaian tertentu atau warna tertentu yang dikhususkan untuk umatnya. Islam cuma mengawal dengan beberapa syarat agar tetap berpegang pada prinsip MENUTUP AURAT.

      maksud 'menarik perhatian' sangat relatif dan subjektif. ia bergantung kepada nilaian adat secara umum. di Malaysia, baju berwarna-warni, pink, merah dann seumpamanya adalah sesuatu yang NORMAL dan BIASA. Wallahua'lam.

      Delete
  16. ASSALAMUALAIKUM... BEST .. ALHAMDULILAH :) :) ^_^

    ReplyDelete
  17. assalamualaikum ustazah fatimah syarha yg sangat saya hormati dan sanjungi :')
    ustazah, saya baru jumpe blog ustazah hari ni sebenarnye.. andai ustazah xkeberatan, bole saya berinteraksi dengan ustazah dalam e-mail? saya perlukan bimbingan ustazah.. :')

    ReplyDelete
  18. Pergh! isi mantap. ramai sangat suka melabel sekarang. :/

    ReplyDelete
  19. Assalamualaikum & terima kasih ustazah.._Islam itu sgt senang & sgt indah sebenarnya_

    ReplyDelete
  20. subhanallah...entri ustazah kali ni benar benar terkena..
    apa pun..sebaiknya..kita tidak boleh cepat melenting dngn kritikan dan teguran kan ustazah..apa yang saya fahami ..ada orang yg cepat menghukum atau melabel kerana dia tidak punya ilmu mengenainya..dan oleh sebab itu ..kita yg ditegur benar benar perlu menghadapi nya dengan hikmah..

    ReplyDelete
  21. allahuakbar ! saya tersentuh ! !

    ReplyDelete