Mengharap Ma’sum Dari Orang Yang Tidak Ma’sum?

Wednesday, 28 September 2011


"Ok, mum! Roger! Roger! I hear you. Meh tangan, pemuda soleh ni nak salam."(Adikku Syamil Faizi, gurau aje ni.) Perhatian: Gambar ini sekadar hiasan. Tiada kena mengena dengan artikel di bawah.

Anda Pernah Dikutuk?

Anda pernah dikutuk dan dicaci?
Dikatakan jahil?
Dikatakan jahat?
Dikatakan memandai-mandai?
Tersenyumlah. Bukan anda seorang sahaja yang pernah diperlekehkan. Saya juga pernah. Para ulama’ juga pernah. Rasulullah SAW juga pernah. Err, Allah SWT juga pernah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108).

Tatkala dikutuk, anda rasa terhina, marah dan geram?
Tersenyumlah. Orang yang mengutuk diri kita yang tidak ma’sum ini mungkin ikhlas ingin membetulkan kesalahan kita. Namun, kita tidak perlu merendahkan akhlak diri kita dengan meniru balik caranya itu. Tahanlah diri dari mengutuk balik. Tahanlah diri dari mencaci-maki. Tahanlah diri dari menghina semula.


Bicaramu Menusuk Kalbu

Berkata Prof. Syeik Dr. Yusuf al-Qaradhawi,

“Islam telah mengajar kepada saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk-ngutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci-maki kebatilan.”

Damainya kata-kata ini. Beliau berkata lagi,

“Manhaj saya sepanjang hayat, saya harus membangun dan bukan menghancurkan, dan menghimpun bukan mencerai beraikan. Akan saya biarkan setiap orang memilih sesuai pilihannya.”

Lebih menyejukkan hati, beliau berkata,

“ Saya tidak akan pernah memaksa orang lain untuk melakukan apa yang menjadi pendapat dan ijtihad saya. Sebagaimana mereka juga jangan sampai menyuruh saya mengambil pendapat dan ijtihad mereka. Jika Allah telah memerintahkan Rasul-Nya untuk berkata kepada orang-orang kafir dengan firman-Nya, “Untuk kalian agama kalian. Untukku agamaku.” (Al-Kafirun: 6), maka mengapa tidak saya katakan kepada saudara-saudara saya kaum muslimin, “Bagi kalian ijtihad kalian dan bagi saya ijtihad saya. Bagi saya amal saya dan bagi kalian amal kalian.”


Di Mana Penunggang Kuda yang Tidak Pernah Jatuh?


Wahai anak-anak muda yang berkobar-kobar,

Dengan kecanggihan teknologi yang membolehkan perbincangan kita dibaca oleh seluruh dunia hanya dalam beberapa saat, pelbagai perkara buruk dan baik tersebar cepat. Berhati-hatilah dengan perdebatan tanpa hujung sehingga terheret kepada perbuatan mencela-cela orang lain, apatah lagi mencela ulama’.

Anda kecewa dengan kesalahan insan yang anda kagumi?

Sama-sama kita renungi kata-kata Syeikh Al-Qaradhawi ini,

“Sesungguhnya orang-orang yang menjatuhkan nama-nama ulama besar kerana sebahagian kesalahan yang mereka lakukan bukanlah orang-orang yang bersikap adil dan tidak pula termasuk orang-orang yang tepat dalam mengambil sikap. Sebab mereka menuntut kema’suman dari orang yang tidak ma’sum (terpelihara dari kesalahan). Di mana ada penunggang kuda yang tidak pernah jatuh? Di mana ada pedang yang tidak pernah tumpul? Di mana ada bendera yang terus berkibar?”

Jika ada insan yang kita iktiraf sebagai ulama’ itupun menunjukkan contoh suka mencela, ambillah kebaikan daripada ilmunya, hormati dia, sayangi dia, doakan dia dan tinggalkan perbuatan suka mencela itu, jangan diambil sekali. Begitu juga sikap kita terhadap ibu bapa, guru, rakan dan sesiapapun jua. Jika sikap suka ‘meraikan’ ini diaplikasi, dada kita sentiasa lapang dan berbahagia.


Pesan Syeikh Dalam Mensikapi Golongan Muda

Berkata Syeikh Al-Qaradhawi ,

“Sesungguhnya kekerasan tidak harus dihadapi dengan kekerasan.
Hendaknya kita memperlakukan anak-anak muda yang penuh semangat itu dengan semangat kebapaan yang menyejukkan.
Jauh dari kata-kata kasar dan keras.
Tidak banyak menyalahkan mereka.
Jangan menghina mereka.
Jangan pula kita berbicara dengan mereka dari menara-menara yang tinggi menjulang dengan perasaan membanggakan diri kepada mereka atau berlepas diri dari mereka sehingga hanya akan menimbulkan jurang lebar antara kita dan mereka. Sehingga mereka tidak menaruh kepercayaan kepada kita dan tidak mahu mendengarkan perkataan kita.”


Ayuh, Ciptakan Sejarah!

Kita mungkin pernah buat salah dalam tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah.
Kita mungkin pernah buat salah dalam melaksanakan arahan ibu dan ayah.
Ketika baru bertatih di dunia kerjaya, mungkin kita banyak buat salah.
Dalam hidup ini, betul dan salah adalah lumrah. Kita tidak dapat lari daripadanya. Positif pada lumrah kehidupan ini akan menjadikan kita terus bersemangat untuk meneruskan langkah, biarpun kita pernah, sedang atau akan membuat salah.

Maka:
Jangan buat salah!
Jangan terlalu kecewa andai tersalah.
Jangan takut nanti salah.
Jangan ulangi perkara salah.
Jangan pula merasakan diri tidak pernah salah.
Jangan cepat mengutuk orang yang bersalah.
Jangan mencari-cari pada orang lain perbuatannya yang salah.

Syeikh al-Qaradhawi berpesan agar memenuhi kalbu kita dan anak-anak kita dengan iman, cita-cita dan tekad serta percaya sepenuhnya kepada Allah SWT dan kepada diri kita sendiri. Kita harus membebaskan dari dari mengharap adanya seorang pemimpin yang mendapat wahyu, seorang pemimpin yang tidak pernah salah.  Sedangkan bersandar kepada kekuatan rakyat itulah yang akan melahirkan sejarah.

Ayuh!!!

7 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..
    alhmdulillah..menambahkan semgt dan dorgn utk terus berjuang lgi..

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum.

    saya ada sedikit pertanyaan..
    bagaimana kita nak menghadapi seseorang yg menghina ISLAM?
    misalnya,dia mengutuk Islam dgn pelbagai kata-kata kesat,tapi macam mana nak menerangkan kepada dia Islam yang sebenar?
    adakah kita perlu marah-marah dekat dia? atau cakap secara hikmah..
    Tapi,kalau kita tak dapat menahan amarah kita macam mana?sebab kata-kata dia terlalu kesat =(

    syukran ukht =)

    ReplyDelete
  4. Nobody is perfect. lebih suka mengambil sikap, ambil yang jernih buang yang keruh.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. As salam ustazah, mahu bertanya berkenaan sumber kata-kata Prof. Syeik Dr. Yusuf al-Qaradhawi, “Islam telah mengajar kepada saya untuk menyalakan pelita dan tidak dengan asyik mengutuk-ngutuk kegelapan, dengan menjelaskan kebenaran dan bukan dengan asyik mencaci-maki kebatilan.” ini dicuplik dari mana ya, mudah untuk saya untuk membuat rujukan.

    ReplyDelete
  7. salam. rujuk buku karangan Ishom Talimah, Manhaj Fikih al-Qaradhawi.

    ReplyDelete

 
Sebarkan Bahagia © 2012 | Designed by Bubble Shooter, in collaboration with Reseller Hosting , Forum Jual Beli and Business Solutions