KENAPA SUAMI PERLU MEMINTA KERELAAN ISTERI SEBELUM BERPOLIGAMI?

Wednesday, 6 July 2011

Adab Permohonan Untuk Berpoligami
            Ada segelintir masyarakat yang berpandangan, keizinan isteri tidak penting dalam urusan poligami kerana sudah tentu kebanyakan wanita tidak mengizinkannya. Jika berhajat, buat sahaja. Mulut isteri hanya perlu dizip dengan ancaman berdosa, nusyuz (derhaka), menolak sunnah Nabi dan sebagainya.
Ya, poligami sah tanpa izin isteri. Tapi kerelaan isteri amat penting dan berpengaruh besar dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.  Jika diabaikan, ia bakal menghancurkan tujuan suci perkahwinan untuk mewujudkan mawaddah, rahmah dan sakinah.
Biasanya suami yang berpoligami tanpa rela isteri melakukannya di Thailand atau di luar mukim. Poligaminya sah namun ia dianggap oleh masyarakat berpoligami tanpa adab. Melanggar lunas undang-undang. Berisiko tinggi untuk menzalimi hak sesiapa.
Hidup ini bukan sekadar mengetahui hukum tanpa seni melaksanakannya. Bukan juga sekadar ada seni melaksanakannya tanpa mengetahui hukum. Kedua-duanya sama-sama penting untuk mengecap bahagia. Tentang isu sah atau tidak sah suami berkahwin lagi tanpa izin isteri, diakui bahawa ianya sah. Namun, ia meninggalkan kesan dan risiko tersendiri dalam kehidupan berumah tangga selepas itu.
Kuasa Keizinan Mahkamah
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa cara pernikahan yang baik itu ialah apabila tidak ada penghalang yang menghambat pernikahannya daripada salah satu pihak, atau keluarganya, atau tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain-lain.[1]
Secara undang-undang di Malaysia, sama ada isteri mengizinkan atau tidak mengizinkan, rela atau tidak rela, permohonan untuk berpoligami mesti dituntut di mahkamah. Ketidak relaan isteri sedikit berpengaruh dalam keputusan mahkamah dalam menentukan sama ada suami mampu berlaku adil atau tidak.
Mahkamah Syariah mempunyai maslahah tertentu untuk membolehkan poligami hanya dengan izin mahkamah, iaitu mahkamah yang menentukan ‘keadilan’ seseorang dan kemampuannya memberikan nafkah. Konsep maslahah suatu konsep yang diiktiraf dalam Fiqh dan Usul Fiqh. Ini disebabkan oleh ramai orang yang menyalah gunakan keringanan (rukhsah) berpoligami khususnya orang-orang jahil.
Di Malaysia, mahkamah akan mempersoalkan tentang kecacatan fizikal isteri, ketidak mampuannya memberikan zuriat serta memenuhi keperluan seks suami dan sebagainya. Jika isteri telah memenuhi kriteria semua ini dan dia tidak rela dimadukan, mahkamah biasanya berkemungkinan besar menolak permohonan suami untuk berpoligami, bergantung juga kepada penelitian banyak faktor lain dan kebijaksanaan hakim.
Perbezaan Pendapat Dalam Mensyaratkan Keizinan
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dalam soal mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau Mahkamah Syariah sebagai mana dihuraikan oleh ramai ulama kontemporari. Sila rujuk penerangan buku Al-Fiqh waadillatuhu karangan Wahbah Zuhaili. Beliau lebih condong kepada pendapat yang mengatakan individu itu sendiri yang berhak menentukan sama ada dia mampu berlaku adil atapun tidak, bukannya pihak mahkamah. Pendapat ini suatu sokongan kepada pendapat Perhimpunan Kajian Islam (Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah pada tahun 1975.
Pendapat di atas ini dihormati. Mereka memiliki hujah yang kuat. Dalam masa yang sama, pendapat yang terpakai di Malaysia juga wajar dihormati atas dasar maslahah dan kaedah fiqh yang memperhatikan keadaan zaman dan lingkungan dalam berfatwa. Lagipun sebahagian ulama kontemporari yang lain seperti Imam Ghazali mempertahankan bahawa keinginan berpoligami oleh seseorang setelah meneliti keadaan tertentu yang tidak melayakkannya tidak boleh dibiarkan. Rasulullah sendiri pernah menegah poligami yang ingin dilaksanakan oleh Saidina Ali. Bukan itu sahaja, baginda menyarankan agar pemuda yang tidak mampu bernikah untuk berpuasa, bukan tetap sahaja menikah.
Jelas kepada kita bahawa isu keizinan mahkamah dan isteri adalah sesuatu yang diperselisihkan oleh ulama, bukannya suatu isu yang disepakati. Maka, raikan perbezaan kerana perbezaan pendapat itu lumrah. Ia suatu perbezaan yang terhormat selagi mana berpegang kepada hujah dan dalil.
Hormatilah keputusan mana-mana negara untuk memakai pendapat yang mana dalam aplikasi undang-undang negaranya. Ia bukan soal benar (haq) atau sesat (batil), cuma soal betul (sowab) atau salah (khoto’). Perbezaan dalam soal betul (sowab) atau salah (khoto’) ini semuanya dalam daerah pahala, sama ada satu atau dua pahala. Orang yang tidak mendapat pahala ialah mereka yang menyesatkan dan mengkafirkan orang lain yang berbeza pendapat dengannya.
Akibat Berkahwin Tanpa Izin, Mendera Perasaan Isteri dan Menghapus Bahagia Sekeluarga
Kita bincangkan pula, isu penting atau tidak penting suami berkahwin lagi dengan izin isteri. Mari merenung jauh, apakah impak poligami tanpa kerelaan isteri? Adakah ia berpengaruh kepada konsep membawa keburukan (mafsadah)?
            Sudah tentu.
Bukankah berpoligami tanpa rela isteri ini suatu penderaan perasaan yang amat dahsyat kepada kaum wanita? Jika dia marahkan suaminya sahaja, tidak mengapa. Bimbang nanti agamanya rosak apabila dia mula marahkan Allah. Bimbang juga jika kehancuran hatinya merangsang dia bertindak di luar kawal.
Wajarkah wanita dipersalahkan seratus-peratus apabila nanti dia mewujudkan perang demi perang lantaran remuknya perasaan? Siapa sebenarnya yang mencampakkan wanita ke dalam kezaliman ini apabila agamanya terfitnah kerana cemburu? Siapa yang telah mengheretnya kepada ujian hidup bermadu tanpa adab? Akibatnya, suami, isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga akan hilang bahagia. Siapa pencetusnya?
Kepentingan Izin Isteri untuk Mencapai Tujuan Perkahwinan Barakah
            Mari kita perhatikan, apakah rasional pentingnya suami meminta kerelaan isteri sebelum berpoligami. Sebelum itu, diingatkan sekali lagi, isunya di sini bukan sah atau tidak sah berpoligami tanpa kerelaan isteri, tetapi penting atau tidak penting kerelaan isteri:
1.      Meminta kerelaan isteri adalah suatu sikap mulia dengan mengambil prinsip umum kepentingan berbincang atau bermesyuarat dalam kepimpinan.
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ (38)
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan berbincanglah dalam urusan antara mereka.” (Surah Syura: 38)
Suami adalah pemimpin di dalam rumah tangga. Sebelum sesuatu keputusan besar dibuat di dalam keluarga, amat penting baginya berbincang dan bermesyuarat sesama ahli keluarga. Barulah dia dikira pemimpin yang bertanggung jawab dan amanah. Bukankah isu poligami adalah isu yang sangat besar dalam sesebuah keluarga? Melaksanakannya tanpa berbincang, adakah akan membawa bahagia? Atau bakal mencipta neraka dunia?
2.      Tanpa kerelaan isteri, ia menghancurkan hati isteri dengan penipuan dan menyembunyikan pernikahan, bertentangan dengan konsep al-mu’aasyarah bil-ma’ruuf (memperlakukan isteri dengan baik), seperti yang diingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Nisaa`: ayat 19.
3.      Islam mengiktiraf perasaan kewanitaan dan ianya menyejukkan jiwa wanita. Pengiktirafan ini mengukuhkan institusi kekeluargaan. Suami yang meminta kerelaan isterinya dikira mengiktiraf perasaan isterinya itu.
Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَدِيٍّ الْكِنْدِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَشِيرُوا عَلَى النِّسَاءِ فِي أَنْفُسِهِنَّ
Maksudnya:
Daripada ‘Adiy ibn ‘Adiy Al-Kindi daripada bapanya: Rasulullah SAW bersabda: “Berbincanglah dengan wanita tentang diri mereka sendiri.”
Jadi, wajarkah seorang suami langsung tidak mengambil pandangan isterinya sebelum berpoligami? Urusan poligami bukan urusan suami seorang bahkan melibatkan urusan isteri dan anak-anak. Maka, suara isteri wajar diperbincangkan bersama secara syura. Suami tidak boleh berlagak diktator kerana keputusan untuk berpoligami melibatkan hak orang lain. Jika hak itu dizaplimi tanpa izin, ia berpengaruh pada syurga dan nerakanya.
4.      Betapa Rasulullah SAW amat menghargai isteri, baginda berpesan kepada kaum suami apabila tergoda dengan wanita lain, segeralah menggauli isteri di rumah. Baginda tidak pernah berpesan agar segera menikahi wanita itu dan menduakan isteri kerana baginda menunjukkan contoh bernikah lagi bukan kerana nafsu tetapi kerana kepentingan agama.
Lelaki yang tertawan dengan seorang wanita dan bercinta secara haram di belakang isterinya kemudian berkahwin lagi tanpa kerelaan isteri, jelas perkahwinannya bukan kerana kepentingan agama tetapi kerana dorongan nafsu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Nabi s.a.w bersabda. “Apabila salah seorang kamu tertawan dengan seorang wanita dan hal itu berbekas dalam hatinya, dia hendaklah segera mendapatkan isteri dan menggaulinya. Sesungguhnya itu akan membuang segala perasaan yang ada dalam dirinya.” (Riwayat Muslim).
5.      Bagaimana Fatimah al-Zahra mengetahui hasrat suaminya ingin berpoligami jika suaminya tidak berbincang dengannya? Jelas, Saidina Ali menghargai kerelaan isterinya dalam urusan ini dengan berbincang.
6.      Kenapa menantu-menantu Rasulullah yang lain seperti Saidina Usman dan Abul Ash Laqith bin Ar-Rabi’ tidak berpoligami? Mereka mengetahui Rasulullah tidak rela puteri-puterinya dimadukan. Jelas, Saidina Usman dan Abul Ash meraikan dan menghormati hati dan keizinan isterinya dalam urusan ini yang disampaikan oleh ayahnya sejak awal pernikahan.
7.      Seandainya isteri tidak merelakan, ia akan mengakibatkan pertengkaran dan pergaduhan besar. Biasanya sukar dimaafkan dan dilupakan selama-lamanya kerana isteri sudah hilang kepercayaan kepada suami. Sekaligus meruntuhkan tujuan perkahwinan untuk membina mawaddah, warahmah wasakinah.
8.      Seandainya perbincangan dengan isteri berlaku, ia akan membawa natijah sama ada isteri merelakan atau suami perlu memberi hak isteri sekiranya dia mempertahankan monogaminya di mahkamah atau minta dibebaskan dengan cara yang baik. Ia dapat mengelakkan pergaduhan besar dengan memberikan hak semua pihak.
9.      Kerelaan isteri pertama lebih memberi ketenangan hati kepada banyak pihak termasuk suami, isteri, anak-anak dan keluarga. Realiti membuktikan bahawa poligami tanpa izin isteri selalunya sukar dan poligami dengan izin isteri selalunya sejahtera.
10.  Kerelaan isteri pertama dapat mengelakkan isteri kedua dan seterusnya sering berada dalam derita apabila suami bersikap lepas tangan. Manakala pembelaan untuk meminta suami menjalankan tanggungjawab dengan adil tidak ada kerana dia tidak terikat dengan mana-mana institusi yang boleh mengawal suaminya daripada melakukan ketidak adilan.  Janji-janji suami akan berkubur begitu sahaja kerana perkahwinan ini tidak mengikut prosedur undang-undang yang betul dengan meminta kerelaan isteri pertama terlebih dahulu, maka suami boleh mengabaikan janjinya sewenang-wenangnya.
11.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan suami membayar nafkah isteri pertama dan anak secara tetap jika permohonan poligami suami dibenarkan (subseksyen 23 (10)(a)).
12.  Kerelaan isteri penting supaya suami tidak boleh menafikan hak isteri pertama untuk menuntut agar mahkamah memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh dengan usaha bersama dalam masa perkahwinannya dan suami, dibahagikan atau supaya ia dijual dan hasil jualan dibahagikan (subseksyen 23 (10)(b)), sebelum suami dibenarkan untuk berpoligami.


[1] Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi, Wanita dalam Fikih Al-Qaradhawi, Pustaka al-Kauthsar, hal.105.

21 comments:

  1. memang sgt setuju ngan kak ha!!! lgi plak xbckap ikut nfsu..smuanya ada hujah..

    ReplyDelete
  2. hati wanita yg begitu mudah terluka, cemburu dan bimbang tak sudah.. begitu lah.. terlalu ikut perasaan, goyah agama lantaran diuji dgn poligami.. ermm.. barangkali ALLAH sengaja menguji tahap keimanan hambaNya.. wallahua'lam.. saya pun tak kuat.. huhu

    ReplyDelete
  3. Kalau Lepas minta kerelaan isteri pertama tak bagi jugak macamana ustazah?

    ReplyDelete
  4. nak tanya, ada tak Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada isteri-isterinya untuk berkahwin lagi?

    ReplyDelete
  5. Jika nak penjelasan detail lagi terperinci, elok baca buku Sebarkan Cinta-Mu. jawapan di sini agak terbatas.

    Prinsip umumnya, al-Quran sangat menekankan syuro (berbincang) dalam kepimpinan. Kepimpinan keluarga tidak terkecuali.

    Poligami suatu adat turun temurun saat itu. (Rujuk buku A-Z tentang munakahat karya Dr. Zahazan Mohamed).

    Pabila di era perang seperti zaman Madinah, keperluan terhadapnya agak ketara sebagai alternatif bukan satu-satunya solusi untuk membela sekian ramai janda yang ada.

    Rasul mengahwini Saudah (seorang janda gemuk dan uzur )dan Aisyah pada masa yang sama.(Rujuk buku Muhammad dari sumber-sumber klasik).

    Perlaksanaan poligami pada hari ini perlu merujuk perubahan zaman, keperluan, keadilan, mahkamah, kemaslahatan semua pihak dan sebagainya.

    ReplyDelete
  6. semua perempuan x rela berpoligami sbb takut berkongsi suami sebenarnya walaupun suami layak, jodoh ajal dan maut telah ditetapkan oleh Allah, jgn la para sahabat tamak kerana suami bukan hak kita tapi kita hak suami, saya merelakan saya suami saya kahwin lagi, bukan kan itu cara kita menolong sesama wanita

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagus nye dia..... sebenar nye berkongsi suami akan menambahkan lagi kasih sayang suami kepada kita. Ramai isteri takut bahawa bila suami kahwin lagi maka si suami ni akan x sayang kepadanya lg. Sebenar nye anggapan tu salah.... ingat tak pepatah org tua2 ....syangkan ank rotan2kan...sygkan bini tinggal2kan... sbnrnya bila si suami selalu meninggalkan isterinye sama ada kerja atau kemana saja .si suami akan merasakan bertambah rindu pada isteri nye.... bila asyik duk rumah je selalu bertengkar..bila jauh rasa rindu.... kasih sayang sbnrnya bukan benda atau kuantiti yg bila dibagi pada ore maka kita akan dapat kurang....

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete
  7. salam hormat.
    selamat datang ke sebarkan bahagia. :)

    Saya menghormati pilihan puan untuk berpoligami kerana boleh jadi puan mempunyai sebab tersendiri. (seperti yang puan katakan ingin menolong sesama wanita).

    Andai kata ada di kalangan warga masyarakat yang mengejek puan, saya cadangkan, puan muhasabahlah punca diri puan diejek. Boleh jadi kerana puan sendiri yang terlebih dahulu mengejek mereka sebagai 'takut berkongsi suami' ataupun 'tamak.'

    Sunnatullah, ejekan biasanya akan menarik ejekan juga.
    Sikap hormat biasanya menarik sikap hormat juga.

    Puan yang saya muliakan...sama-samalah kita letakkan sesuatu dengan sandaran ILMU.

    Suami bukan hak mutlak isteri.
    Isteri juga bukan hak mutlak suami.
    Dalil mana yang mengatakan isteri milik suami (secara mutlak)? Itu hukum zaman jahiliah. Wanita dihinakan, boleh didagangkan dan boleh diwariskan.Islam telah datang membawa rahmat dengan menghapuskan hukum ini.
    Hakikatnya, Allahlah pemilik mutlak.

    Rasa memiliki adalah FITRAH manusia. Tanpa rasa memiliki, puan tak kisah perompak masuk ke dalam rumah puan.

    Dalam Islam, khususnya muamalat, ada konsep-kopsep milkiah (pemilikan), haqqu tamalluq (hak memiliki) dan sebagainya kerana Islam mengiktiraf rasa memiliki. Cumanya, kita kena jelas bahawa manusia pemilik sementara dan Allah pemilik mutlak.

    Jodoh, ajal dan maut di tangan Tuhan. Jangan lupa, perceraian juga di tangan Tuhan. Sebelum semua ini terjadi, Islam menyuruh kita memilih bukan menyerahkan bulat-bulat kepada takdir.

    Cara menolong sesama wanita ada banyak, puan. Tak semestinya dengan cara menyuruh suami kita bernikah lagi. Antara bentuk bantuan itu ialah...

    1. Menjelaskan hukum sebenar poligami dalam Islam agar suami wanita itu tidak mengambil mudah dan takut kepada Allah. Bukankah ini suatu bantuan kepada wanita yang menjadi isterinya? Bahkan kepada 'akhirat' suaminya juga...

    2. Menjelaskan bahawa Islam membenarkan wanita memulakan perceraian agar terselamat agama wanita itu daripada terfitnah disebabkan cemburu. Tidak semua wanita sanggup hidup berpoligami seperti mana semua puteri Rasulullah SAW. Cemburu adalah FITRAH dan Islam memberikan hak yang wajar dalam meraikan FITRAH ini. Bukankah ilmu ini suatu bantuan kepada wanita untuk memilih jalan keluar? Ia juga akan meneguhkan agama wanita itu kerana mendapati Islam yang dianutinya sangat MEMAHAMI FITRAH!

    3. Mematahkan hujah-hujah para suami yang memperalatkan dalil-dalil agama tidak kena pada tempatnya. Mengatakan poligami itu wajib, hukumnya sunnah dan mengancam isteri yang menolak sebagai PENENTANG HUKUM TUHAN. Bukankah ilmu ini suatu bantuan kepada para suami itu agar tidak mempermainkan al-Quran dan hadis?

    4. Menyeru agar lelaki membantu sesama lelaki supaya melayakkan ramai lagi lelaki MAMPU BERNIKAH. Apatah lagi, bancian di Malaysia menunjukkan lelaki lebih ramai daripada wanita (setiap 100 orang wanita belum nikah, ada 130 orang lelaki belum nikah, NEWS STRAIT TIME, 2000). Bukankah ini dapat membantu wanita juga bernikah tanpa perlu memilih rukhsah berpoligami?

    Kesimpulannya:
    1)Sama-samalah kita menghormati pilihan orang lain.

    2) Usah cepat menganggap orang lain tamak kerana boleh jadi kita sendiri yang tamakkan harta suami,dan takut kehilangannya (saya yakin puan tak begitu). Suami yang menganggap isterinya tamak juga, boleh jadi dia sendiri yang tamakkan HARTA SEPENCARIAN dan takut mahkamah memberikan HARTA yang berhak isteri pertama miliki sebelum dia berpoligami. Al-Quran jelas melarang sikap tuduh menuduh.

    3) Mari sama-sama mendoakan agar tetap mengecapi nikmah mawaddah, rahmah dan sakinah.

    4) senyum-senyum selalu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalamualaikum tuan punya blog...

      masyaallah. takut saya baca puan punya statement yg berani mati...

      ..ada diantaranya terputar belit dgn menggunapakai firman allah, sabda rasullullah & hadis2 serta nas2 malah dicampur adukkan dgn logik akal berlandaskan zaman serta undang2 sivil.

      refresh balik...

      6 rukun iman (main title serta subtitle...tersirat & tersurat di dlm nya)

      jika terlanggar 1, malah lari dari landasannya...di manakah imannya?
      apatah lagi utk melayakkan kita tergolong dlm mawaddah, rahmah atau sakinah?

      hanya allah sahaja yg tahu. sy yg hampir 40 ni sdg belajar ilmu agama utk refresh balik rukun iman sy. bukan sekadar berguru dgn buku & google shj.

      ketahuilah puan, logik akal atau undang sivil hanya mainan perasaan & ciptaan kita. HUKUM Allah adalah nyata, kekal & abadi. setiap yg di ciptakan & diturunkan allah kepada hambanya (agama islam) adalah terdiri dr keadilan, cantik indah sempurna dsb.

      sy percaya puan sbg isteri tahu ttg empat perkara (kelayakkan ke syurga) & berpuluh2 perkara (kelayakkan ke neraka...nauzubillah)

      harap puan lebih byk browsing/google atau berguru dgn ahli agama.

      semoga allah merahmati puan.

      wassalam.

      Delete
  8. Salam....
    sy mempunyai 2 org anak...yg bongsu berada di hospital hingga skrg (1thn +)..
    saya benarkan suami sy bernikah lg...sy ajak bakal madu sy dtg ke rumah untuk mengenalinya..sy menyuruh mereka bernukah secara sah mengikut undang2 negara...dengan harapan supaya mereka dpt berfikir sedalam2nya kehidupan yg bakal kami rempuhi....tapi...
    REMUKnya hati sy kerana mereka menipu sy untuk bernikah d Thailand...
    si madu x pernah memnta izin dr sy atau org tua suami..dan dia x pernah rs bersalah diatas perlakuannnya...
    sy sgt kecewa dan suami telah byk kali menipu dan melukakan hati sy...
    sy nekad utk membiarkan shj mereka dan tidak lg mempercayai suami selama2nya kerana sy rs cukuplah mereka menyakiti hati ini....
    wont let them hurt me anymore...i'll live happily wif my kids...insyaAllah...

    ReplyDelete
  9. Adakah jalan atau cara saya yg dah berumur hampir 40 tahun ini untuk bertemu pasangan? adakah badan2 atau organisasi yang dapat membantu wanita seperi kami? saya juga impikan suami yg baik-baik dan sentiasa berdoa untuk itu dan redha apa yg terjadi. alangkah untung dan bertuahnya wanita2 yg sedah berkahwin dan mempunyai anak2 dan keluarga yg bahagia. saya jg impikan semua itu dlm hidup sy. andaikata jodoh sy samada yg bujang,duda atau suami orang, sy tetap akur dgn jodoh yg Allah berikan. Wallahualam..

    ReplyDelete
  10. Sy mempunyai suami seorang ahli agama. (jemaah tabligh yg sgt aktif dgn dakwahnya) kami sering brselisih faham apabila brbincang bab poligami. Dia sering mgeluarkan hujah2 poligami sunnah nabi dan sy boleh jadi munafiq jika menentangnya. Dalam masa yg sama saya amat mengetahui bahawa kemampuan suami amat terbatas( kami telah brkahwin selama 19 tahun) tetapi dia tetap menafikannya. Akhirnya smlm sy mgetahui suami telahpun brpoligami tanpa kebenaran dan kerelaan sy dengan seorang gadis brusia 22 tahun yg br 2 bulan dikenali di laman facebook. Alangkah hancurnya hati sy apabila seorang suami ahli agama memperlakukan sy begini. Hanya Allah yg maha mengetahui.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah..sabar,Allah syg pd puan..jika redha dn sabar,Allah juga akn redha pd kita.itulah takdir,nak dpt hakikat iman bukan senang..perlu di uji dulu. :'(

      Delete
  11. salam..dr bacaan di atas jelas bahawa ayah saya ingin kahwin kerana nafsu. Kami malu kerana dia sering dilihat berdating dgn seorg wanita yg tinggal dkt dgn rumah kami. Ayah sering ke rumahnya. Wanita tersebut seorang janda. Dan anaknya juga kawan adik saya. Ayah saya bukan seorang suami dan ayah yang baik tapi kami sentiasa sabar dengan dia. Tapi akhirnya dia melakukan hal seperti ini. Kami tidak pasti jika dia ingin kahwin atau tidak tapi kami dapat tau dari orang luar mengatakan dia ingin kahwin. Dan pada hari ini terdapat kenduri kesyukuran di rumah wanita tersebut. Saya sangat risau kerana tidak sanggup melihat mak saya dikecewakan begitu. Mak saya seorang muallaf tetapi ayah saya tidak pernah memimpin mak dan kami juga. Tetapi kerana mak memeluk agama islam kerana keinginan sendiri bukan kerana hendak kahwin jadi mak saya memastikan kami semua mendapat didikan agama yang secukupnya. Adik beradik saya ada 6 orang. Mmm.. Saya sedih dengan sikap ayah saya yang terlalu kejam.

    ReplyDelete
  12. salam...

    kdg2 kita ni keyboard hero, sama mcm mulut, hati, emosi & nafsu yg 9 tu.

    cmne perempuan nk bimbing perempuan (ke syurgal) sdgkan akalnya 1?

    Allah yg sempurna bkn ciptaanNya. sbb tu dlm semua perkara, kita sbg hambanya kena prioritize suruhanNya. refer balik pd panduanNya (al-quran). bkn mengeluarkan statement sesedap akal kita yg nyata x sempurna. takutla terlanggar rukun iman...

    jgn amik sepotong ayat al-quran di combinekan dgn hadis & di konklusikan dgn sabda2... x betul tu. akan mengelirukan nanti.

    maybe, puan2 jgn refer 1 blig shj...malah byk lg blog2 wanita kat luar sana yg mampu membimbing kpd keredhaan Allah SWT.

    Sekian serta maaf

    ReplyDelete
  13. as'salam... pekara حَلاَلً yg dibenci Allah adalah penceraian.. dalam tulisan yg akhir..ini mengalakkan "barangsiapa yg tak suka poligami buleh mnta cerai dimahkamah" islam itu adil.. dan alasan mengapa menantu bginda tidak berpoligami dgn mengatakan bahwa bginda tidak mahu atau tidak rela anaknya dimadu " itu sunguh tidak berasas.. apakah islam ini mengatakan bahwa.."hnya bgidanbuleh berpoligami dan memadukan isterinya dan org lain tak buleh..? wahai sadara.. jgn mengelirukan ummat..bginda rosull bernikah dulu.. lepas tu baru bagi tau.. ini adalahsalah stu daqyah yg mnyimpang dari ajaran islam.. mnyisipkan pikir bahwa bginda rosull ini tidak adil dalam berhukum.. sungguh ini adlaah fitenah besar keatas nabi..

    ReplyDelete
  14. Blog ini bagus sekali, saya suka pemikirannya yang jujur tentang perasaan wanita

    ReplyDelete
  15. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  16. Assalam kepada pembaca blog, saya pernah melihat satu kekecewaan sejak di bangku sekolah akibat poligami, saya tak kata poligami itu suatu yang salah ttp apa yang berlaku didepan mata membuat kan saya jadi takut, apabila suami bergurau ttg poligami saya jadi resah dan gelisah dan kadang2 saya menangis tanpa dia sedari sebab saya terasa hati saya hancur sebagaimana hancurnya hati org yg saya sayang akibat poligami, kalau Allah takdirkan itu yang berlaku pada saya mungkin saya akan benarkan namun saya takut saya akan jadi isteri yang derhaka kepada suami sbb mungkin hati saya akan meratapi, menangisi, mencaci dan memarahi dengan apa yang berlaku. kerana pada hakikatnya mungkin saya masih tidak kuat untuk memerimanya......Hati yang terluka kerana perkara itu masih terluka hingga kini,

    ReplyDelete
  17. Penentang tegar poligami. Itu shj yg mampu sy katakan setelah melihat & meneliti nukilan tuan blog. Berpegang pd Quran & Sunnah, neacaya kamu tidak akan tersesat. Semoga Allah memberikan hidayah kpd tuan blog. Assalamualaikum.

    ReplyDelete

 
Sebarkan Bahagia © 2012 | Designed by Bubble Shooter, in collaboration with Reseller Hosting , Forum Jual Beli and Business Solutions