Sunday, 22 May 2011


Lelaki dan Wanita Ada Hak Memulakan Perceraian

Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata bahawa dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak. Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (Al- Baqarah: 228)

“Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan,” katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan. Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan. “...Maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik...” (Al-Baqarah: 231)

“Dengan penjelasan penting Al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan. Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya,” katanya.

Beliau juga berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan. Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

Khuluq, Hak Talaq Dari Pihak Wanita

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak. Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

“Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 229)

Bagaimanapun, menurut Al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk meminta cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan dia mempunyai sebab munasabah. Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud).

Larangan itu tidaklah secara total. Isteri yang  mempunyai sebab yang kukuh boleh meminta untuk diceraikan, terutamanya yang berkait dengan kepentingan akhirat atau takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al-Mugnhi berkata, “Jika isteri membenci suaminya kerana akhlaknya atau perbuatannya atau agamanya atau kesombongannya atau kelemahannya atau sebagainya, lalu dia khuatir dirinya tidak akan dapat melaksanakan hak Allah dalam ketaatan kepada-Nya, maka diperbolehkan kepadanya untuk meminta khulu’ dengan menebus dirinya iaitu mengembalikan semua pemberian suaminya (dalam akad nikah) sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah: 229.”


Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau khuluq (tebus talak iaitu cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya). Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak ta’liq dan pertukaran agama.

Ikuti penerangan lanjut di dalam gambar rajah di bawah:

PERCERAIAN[1]
DARI PIHAK SUAMI
DARI PIHAK ISTERI
DARI KEDUA-DUA PIHAK
Talaq-hak suami untuk mengakhiri kehidupan suami isteri.
Khulu’- hak membubarkan perkahwinan dari pihak isteri.
Suami isteri yang saling membenci boleh bercerai secara baik.
Islam memayahkan atau mempersempit ruang suami untuk melakukan talaq dan membatasinya dengan sejumlah batasan, mengikatnya dengan beberapa syarat menyangkut waktu, tata cara dan jumlahnya.
Islam mempermudah atau memperluas ruang wanita untuk melakukan khulu’ dengan membenarkannya dilakukan pada masa haid atau suci menurut Ibnu Qudamah kerana Nabi tidak pernah menanyakan keadaan itu bagi isteri yang meminta khulu’.
Suami tidak boleh sengaja tidak menggauli isteri dengan baik supaya isteri meminta khulu’ sebagaimana larangan Allah dalam Surah al-Nisa’, 19.
Tidak boleh dilakukan sebarangan kerana ia termasuk menzalimi diri sendiri dan orang lain.
Disyariatkan dengan dalil al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ para ulama. (Rujuk al-Baqarah: 229)
Suami dilarang mentalaq isteri ketika haid disebabkan Islam mempedulikan bahaya memperpanjang waktu iddah isterinya.
Talaq hendaklah dilakukan dengan baik meskipun pergaulan dengan isterinya sudah menjadi tidak baik.
Isteri tidak diwajibkan menyukai keadaan di rumah suaminya selamanya jika ia menyakitkan baginya, menzalimi dirinya, hati dipenuhi rasa benci, susah dan selalu marah kepada suaminya.
Sebahagian fuqaha’ mensyaratkan agar masalah ini disidangkan ke pengadilan agama dan sebahagian lagi tidak mensyaratkannya. Hakim akan mempertimbangkan kebencian kedua-duanya dan berkuasa memaksa suami menerima khulu’ serta berkuasa mengadakan fasakh.
Diharamkan bagi suami menceraikan isterinya kerana dia membencinya lantaran inginkan wanita lain dan mengambil kembali harta yang pernah diberikan kepadanya. (Rujuk Surah al-Nisa’, 21)
Wanita agak mudah meminta cerai setiap kali pergaduhan kecil, justeru, ada hadis Nabi yang mengancamnya tidak mencium bau syurga (HR Ahmad, sahih).
Islam memberikan hak talaq kepada lelaki sebagai balasan daripada kewajipannya memberi mahar dan nafkah sebelum talaq. Hak itu mempunyai akibat perlunya memberi nafkah iddah, nafkah anak-anak dan mut’ah pasca perceraian.
Diharamkan perceraian kerana marah, membalas dendam atau menginginkan harta meskipun ia sah. (Rujuk Surah al-Baqarah: 231, al-Talaq:6, al-Nisa’: 19).
Yang diancam hanyalah wanita yang meminta khulu’ tanpa alasan sementara wanita yang merasakan kebencian kepada suaminya dapat menyebabkannya lalai dari melaksanakan perintah dan hukum Allah, maka dia berhak. Ini terjadi sendiri pada zaman Nabi seperti kisah isteri Tsabit bin Qais.
Isteri tidak diberikan hak talaq seperti suami kerana setiap hak didahului dengan kewajipan, dan setiap kewajipan dibalas dengan hak. Namun, dia masih mempunyai hak khulu’ dengan mengembalikan pemberian suaminya kerana kebencian itu berpunca dari dirinya sendiri. Ini adalah sikap adil Islam.
Talaq terikat syaratnya dengan waktu misalnya talaq dilakukan ketika isteri dalam keadaan suci dan belum disentuh oleh suami. Talaq berdosa dilakukan ketika isteri sedang haid, atau dalam keadaan suci tetapi suami telah menggaulinya. Ia dikira talaq bid’ah[2] dan batil[3].
Jika pergaulan suami isteri amat buruk tetapi si suami enggan menceraikan isterinya, maka isteri bolehlah menawarkan khulu’ dengan mengembalikan pemberian suaminya mengikut persetujuan bersama.
Suami atau isteri boleh melantik hakim atau pengadil yang berkuasa untuk menyatukan atau memisahkan antara keduanya seperti pendapat penduduk Madinah, Imam Malik, Imam Ahmad dalam satu riwayat, Imam Syafi’I dalam satu pendapat dan Ibnul Qayyim. (Rujuk Al-Nisa’: 35).
Talaq terikat dengan  niat dan keinginan yang kuat.
Perceraian boleh juga berlaku dengan kedua-duanya bersetuju membuat syarat ta’liq, contohnya isteri yang mensyaratkan agar dirinya diceraikan jika suaminya berpoligami.
Talaq diucapkan sekali dalam keadaan tenang. (Rujuk al-Baqarah: 227).
Tiada talaq ketika sangat marah, dipaksa, bersumpah dengan talaq kerana sumpah dengan selain nama Allah tidak sah dan ditolak.
Talaq terikat dengan keperluan yang sangat mendesak.
Melakukan talaq tanpa kecurigaan isteri berbuat zina atau tanpa ada keperluan yang mendasar, hukumnya makruh atau haram.
Islam tidak membebaskan lelaki melakukan talaq begitu sahaja tanpa beban yang memberatkannya dan membuatnya takut melakukan talaq.
Pasca perceraian, suami wajib membayar mahar yang tertunda, nafkah iddah, upah menyusui anak-anak, nafkah anak-anak hingga mereka dewasa, memberi mut’ah (hadiah wajib, rujuk al-Baqarah: 236 dan 241).



[1] Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi, Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi
[2] Mengadakan perkara baru dalam urusan agama.
[3] Terbatal.
Reactions:

Tagged:

6 comments:

  1. Wahai wanitaseluruh dunia, saksikanlah betapa terbelanya wanita dalam ISLAM. Masyallah, beruntungnya kita menjadi muslimah! Alhamdulillah.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ustazah.. mohon pencerahan... usia perkahwinan saya belum pun setahun.Namun isteri saya sering mintk bercerai... beliau sedang mengandung. Dan sejak akhir-akhir ini, beliau semakin kerap meminta cerai.. Beliau juga ada berkata akan membuat khuluq... Sebelum bernikah, saya ada bertanya kepadanya. Saya bekerja kampung, gaji 1700, ada tanggungjawab di kampung dan sebagainya. Dia kata takpe, dia tak kisah.. Selepas dua minggu bernikah, dia mula meminta cerai..Kini dia sering mengungkapkan dia tak pernah sayang dan cintakan saya.. Dia kata terpaksa mengahwini saya kerana tidak mahu mengaibkan keluarganya. Padahal saya adalah pilihannya bukan keluarganya.. Saya rasa seperti dipergunakannya sebelum ini, sebelum dia menjadi guru yang disahkan jawatannya.. Saya rasa perkahwinan saya bagai dipermainkannya.. Apakah hak saya? maruah saya dan keluarga yang diaibkan.. Keluarga saya orang yang baik-baik. Saya seorang imam masjid di kampung.Tapi saya tahu tak kan saya nak mengikatnya.. Harap ustazah dapat beri pandangan.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum saya nak btanya kalau kt nak mntak cerai dsebab kan prangai suami yg pnas baran dan kaki pkul sedang kan dia kurang upaya mcm mna cara nya ya....

    ReplyDelete
  4. As Salam...bagaimana jika suami suka main2 ajak cerai...dia pernah ttap kan tarikh utk melepaskan sya kerana marahkan sya ganggu hubungan dia d ha n kekasih lama....dan sekarang setahun tiba2 tanpa gaduh suami sekali lagi ajak bercerai dgn menetapkan tarikh lagi..adakah talak itu jatuh?tq

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum ustazah. Sy dah berkahwin hmpir 5 tahun dn masih belum ada zuriat. Suami kini ingin kahwin lain kerana x boleh terima masa lalu sy..utk pgtahuan ustazah kami da kenal ltr blkg masing2 sblm kahwin lagi.beberapa kali kami cuba berpisah dari masa bertunang dn di aeal perkahwinan kerana sbb yg sama dn kini sbb yg sama juga dia ingin kahwin lain..dia x mahu lepaskn sy dn ugut akan hilangkn diri jika sy minta dilepaskan. Ustazah sy sgt sygkn suami sy dn x pernah kisah masa lalu beliau. Sy kuat cemburu dn sbnrnya bimbang akn jadi derhaka jika sy x ikhlas bermadu. Sy juga x mahu suami berdosa nti jika x dpt brlaku adil sbb tu sy ingin undurkn diri demi dia dapat apa yg dia inginkan. Mohon nasihat bgmana supaya sy boleh pujuk suami dn dia x marah bila sy minta dilepaskan. Terima kasih

    ReplyDelete